Sunday, November 16, 2008

UMNO-Perlu ada Sistem Atau "UMNO PROTOKOL"


Apabila kita bercakap soal sistem, kita akan melihat bahawa sistem adalah merupakan suatu ketetapan mustahak yang merangkumi aspek dan susunan yang memungkinkan benda atau sesuatu yang berada di dalam sistem itu mengikut sepertimana yang termaktub dalam sistem yang diselaraskan atau yang digubalkan oleh pertubuhan atau superior.


Dalam perniagaan, kita perhatikan banyak syarikat multinasional yang berjaya diperingkat global adalah terdiri daripada syarikat yang mempunyai sistem samada dalam pentadbiran atau aspek pengurusan yang mana ketua kepada sistem tersebut kadangkala tidak perlu lagi melihat kepada perkara remeh-temeh pengurusan kerana ianya sudah termaktub dan hanya penyelarasan yang wajib diikuti oleh pekerja yang berada didalam sistem tersebut. Natijah disebalik pengingkaran kepada sistem akan menyebabkan organisasi menjadi lembab, Jualan akan susut, Imej akan tercemar, dan usaha kearah kecemerlangan akan terbantut. Ini adalah sistem.


Kita mengambil contoh Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald misalannya adalah merupakan sampel terbaik bagi menerangkan tentang prepentingnya sistem yang diamalkan didalam kedua-dua syarikat itu yang mana, sesiapa sahaja yang berada didalam konglomerat tersebut wajib mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan didalam sistem yang telah digubalkan. Dan sistem tersebut tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak dan sudah menjadi suatu perlembagaan kepada syarikat samaada sesiapa sahaja yang menerajui atau menjadi pemilik franchise kepadanya atau yang bekerja dengannya wajib melaksanakannya.


Ini terbukti apabila, ianya merangkumi daripada segenap segi, dari sekecil-kecil peranan tukang cuci, tukang masak, sehinggalah kepada cashier yang menguruskan kewangan, semuanya berada didalam sistem yang telah dibukukan.


Dalam UMNO, sejak daripada penubuhannya, pada 11hb Mei 1946, sememangnya UMNO mempunyai perlembagaan yang dipanggil perlembagaan parti-iaitu peraturan-peraturan sebagai ahli parti dan sebagai organisasi, dan walaupun kerapkali dibahas dan ditambahnilaikan, atau diperbaharui mengikut matlamat dan perjuangan semasa, namun UMNO masih lagi belum ada sistem yang wajib diikuti oleh sesiapa saja yang memimpin samada daripada sebesar-besar pemimpin diatas termasuk Presiden, Timbalan presiden dan Naib-Naib Presiden, Wanita Pemuda dan Puteri sehinggalah melibatkan kepimpinan dibawah termasuk bahagian dan ranting-ranting diperingkat cawangan.


Saya berani mengatakan demikian kerana, seringkali wujud double-standard atau dengan kata lain, keputusan dua muka yang kadangkala boleh menyebabkan UMNO wujud sebagai sebuah parti yang tidak mengamalkan keadilan dan ketelusan didalam pentadbiran. dan kadangkala terdengar "oleh kerana UMNO adalah Politik, maka kadangkala jawaban kepada persoalan hendaklah berbaur politik, ibaratkan 2+2 bukan 4 tetapi 6 atau 8 atau 10, atau apa sahaja yang memungkinkan jawaban mengikut selera dan sentimen" kata sesetengah daripada penganalis politik yang saya dengari.


Pada hemat saya, keputusan daripada politik adalah berbentuk politik sekiranya ianya melibatkan parti lawan atau dalam berhujah dengan parti pembangkang dalam pembentukan fakta untuk menentang dan sebagainya, tetapi sekiranya ianya melibatkan masalah dalaman, saya yakin dan percaya UMNO menyimpang jauh daripada apa yang sepatutnya ada dari Sistem.


Kita melihat pada hari ini, UMNO sebagai sebuah parti dominan dalam kerajaan yang ditunjangi BN sejak sebelum Merdeka, seringkali dilabel sebagai parti yang mengamalkan politik wang, didada akhbar dan media eletronik, seringkali menggambarkan kerakusan pemimpin dalam mana kita berdepan dengan pemilihan parti di setiap 4 tahun sekali. Ini semua adalah kerana, kita tidak mempunyai sistem dalam pemilihan.


Dada-dada akhbar yang memaparkan kepincangan politik wang, dan media eletronik juga memainkan peranan yang berterusan kerana kita tidak mempunyai sistem yang mengawal media daripada meneruskan agenda memburok-burokkan parti kerajaan, sedangkan kita adalah kerajaan. Sesuatu topik tidak akan terus diperbincangkan atau diperdebatkan sekiranya kita dapat mengawal tajuk hangat tersebut daripada merebak, ini berlaku secara terus menerus kerana UMNO tidak berusaha untuk mempelopori sistem dalam kawalan kepada media.Ini tidak berlaku sama sekali di Singapura misalannya sejak daripada zaman, Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong sehinggalah kepada zaman Lee Hsieng Loong yang ada pada hari ini. Ini bukanlah bermakna Rakyat Singapura tidak berhadapan dengan isu besar, tetapi kerajaanlah yang mempunyai peranan dan sistem untuk mengawal isu, dan ianya wajib diikuti oleh agensi dan syarikat berkepentingan Kerajaan (GLC) apatah lagi yang melibatkan isu parti yang menguasai kerajaan. Ini boleh dilihat didalam tontonan VCD "the success story of Singapore by Lee Kuan Yew".


Dalam pemilihan UMNO misalannya, sepertimana apa yang telah berlaku di Seremban , didalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian tersebut baru-baru ini, UMNO tidak mempunyai suatu sistem yang boleh digunapakai dan diseragamkan untuk mengelak perkara tersebut daripada berlaku. Ini boleh dijadikan contoh apabila UMNO kubang kerian, yang juga salah satu daripada bahagian-bahagian panas dalam negara, yang kalau difokuskan boleh diletakkan pada tahap "Kod Hitam" berjaya mengadakan mesyuarat kerana mempunyai sistem awal yang direka khusus oleh pimpinan bahagian, dimana para perwakilan sahaja yang benarkan masuk kedewan dengan menapis kehadiran dipintu pagar masuk disamping pemerhati yang dibenarkan oleh Ketua cawangan sahaja yang boleh berada didewan semasa perasmian dan mereka, mengikut sistem, hendaklah keluar dari dewan apabila mesyuarat hendak dimulakan. Ini adalah contoh sistem yang berupaya untuk menyekat daripada berlaku keributan didalam dewan yang boleh mengaruhkan pergaduhan dan sebagainya. Kebiasaannya, pergaduhan tercetus adalah kerana pengaruh orang luar yang tidak menjadi perwakilan di dalam dewan, yang menyebabkan wujudnya suasana panas yang memungkinkan bertindak diluar perbatasan peraturan parti.


Di dalam Pentadbiran sebagai pemimpin parti juga, UMNO harus mewujudkan sistem yang wajib dilaksanakan di dalam tadbir urus sebagai pemimpin kepada bahagian. Kod sistem ini hendaklah digubal supaya sesiapa yang ingin memimpin UMNO bahagian sehinggalah kepada pemimpin sayap wajib mengikut sistem yang perlu dilaksanakan. Sebagai contoh, hari ini kita melihat ramai pemimpin-pemimpin berlumba-lumba ingin memegang jawatan dalam parti tetapi tidak mendalami sepenuhnya apakah tugas-tugas yang harus dilaksanakan atau dipikul sebagai pemimpin kepada bahagian, seolah-olah hanya sebagai simbol tetapi tidak menggerakkannya. Pemimpin terpaksa tercari-cari program yang perlu diisi oleh bahagian, dan sekiranya Pemimpin Bahagian mempunyai hubungan yang baik dengan menteri atau agensi, maka mudahlah peruntukan akan dapat disalurkan kepada UMNO Bahagian dalam mengisi program-program yang akan dilaksanakan. Sedarlah bahawa dalam politik, tidak ada perjuangan kendiri selain daripada untuk kita menguatkan parti dan rakyat serta penyokong untuk berdepan didalam pilihanraya yang akan datang. Namun apabila pemimpin bahagian tidak mempunyai talian hayat dengan mana-mana agensi atau kementerian, maka alamat keringlah program didalam bahagian dan ini boleh menyusahkan kepimpinan sayap-sayap yang terpaksa bergantung kepada UMNO bahagian didalam pengisisan program yang sepatutnya dilaksanakan.


Di dalam sistem yang dicadangkan, sekiranya 30 buah kementerian yang ada dalam negara termasuk kementerian Di Jabatan Perdana Menteri, menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000-00 kepada 191 buah bahagian diseluruh negara, maka setiap kementerian akan membelanjakan sejumlah RM1,910,000-00 sahaja untuk menampung program dibahagian yang akan mengadakan sejumlah 30 program setahun. Sekiranya 30 program setahun dapat diadakan di dalam UMNO Bahagian diseluruh negara, kita yakin dan percaya, kita akan dapat berjumpa dengan masyarakat tidak kurang 3 kali sebulan disamping program-program kecil yang lain. Dan ini melibatkan satu jumlah yang kecil sahaja disebalik peruntokan pulohan malah ratusan juta ringgit kepada kementerian pada setiap tahun budget kewangan negara. Ini semua perlu dimasukkan ke dalam sistem.

Makna, sekiranya seseorang pemimpin itu ingin menjadi ketua UMNO bahagian, dia haruslah bersedia untuk mengadakan program dan dan berperanan dalam tanggungjawab tersebut, dan dalam masa yang masa Menteri atau timbalan menteri akan dapat turun kesegenap bahagian diseluruh negara dan sekaligus merapatkan jurang antara menteri dan rakyat, disamping mengenali dengan lebih dekat permasalahan yang ada disegenap peringkat, walaupun tidak termasuk Bahagian-bahagian di Sarawak boleh dilaksanakan dengan peruntokan yang lain.

Sistem ini akan pertamanya memberikan kesedaran tentang pentingnya tugas dan tanggungjawab ketua bahagian, yang sudah tentu akan memperkuatkan akar umbi, dan keduanya Menteri dan Timbalan Menteri tak payah sibuk berkempen ke sana ke mari apabila tiba musim pemilihan, kerana ramai sudah mengenali mereka dengan lebih dekat melalui program-program yang dihadiri.

Sistem pemilihan bahagian hendaklah diuruskan terus ke negeri masing-masing termasuklah didalam persidangan cawangan, supaya tidak timbul lagi soal politiking yang kerap kali dikaitkan diperingkat bahagian apabila ada sesuatu pertembungan atau political clash diperingkat bahagian. Sistem diperingkat negeri hendaklah dipilih dikalangan bukan yang pernah memegang apa -apa jawatan dalam politik sama didalam bahagian dan hendaklah bebas daripada mana-mana pengaruh dalam yang boleh menyebabkan 2+2 jadi 6.

Sistem diperingkat pusat pastinya perlu ditekankan supaya mana-mana ahli yang membawa keluar berita tentang pemilihan didalam bahagian yang ditanda dengan KOD HITAM, kepada media eletronik ada media massa hendaklah digantung terus keahlian dari parti, dengan penyiasatan sekurangnya seminggu, dengan terbukti kesahihan dan peranan yang diberi kepada akhbar dan media untuk memudaratkan UMNO Bahagian. Dan berita tentang penggantungan ini semua tidak perlu dibawa kedada akhbar, dan hanya sistem yang menyampaikan, melalui warrant dan sebagainya.

Saya merasa sudah sampai masanya UMNO mempunyai sistem yang wajib dipatuhi oleh ahli-ahli disegenap peringkat. Jangan hanya yang menulis atau yang bercakap sahaja yang mahukan perubahan atau kadang kala yang menulis dan bercakap sahaja turut juga terlibat.

Saya diibaratkan seperti pembaca khutbah yang mengajak diri sendiri dan orang lain supaya sama-sama membuat perubahan. Sudah sampai masanya... ayuh "SISTEM UMNO" atau "UMNO PROTOKOL"

Jumpa Bab seterusnya.. UMNO -Perlu ada Sistem..BAB II




Sunday, November 9, 2008

Amerika & Malaysia Jauh Bezanya



Saya amat tertarik dengan kemenangan Calon Demokrat Barrack Obama yang telah diisyhtiharkan menang sebagai Presiden Amerika yang ke 44 seminggu yang lalu didalam persaingan sengit jawatan Presiden dalam kempen sejak 2004 lagi, sebenarnya saya banyak mengikuti perkembangan yang berlaku di Amerika semenjak kebelakangan ini hanya disebabkan oleh Obama, samatelah lagi membeli buku-buku karya beliau seperti "audicity of hope" dan "dream from my father".


Ini bukanlah bermakna saya menyokong Amerika atau dasar-dasarnya yang ternyata dibawah kepimpinan George W. Bush yang banyak menekan negara-negara islam seperti Iraq, Iran dan Afghanistan, tetapi saya amat tertarik dengan karektor dan personaliti beliau serta kesungguhan yang telah beliau tunjukkan sebagai Calon Demokrat yang termuda berusia 47 tahun selain daripada Presiden John F. Kennedy Jr. didalam persaingan yang begitu hebat yang telah dihadapi beliau yang memungkinkan beliau berada ditempatnya sekarang disamping visi dan misi untuk menyelamatkan Amerika daripada keruntuhan ekonomi yang berterusan sepertimana yang melanda negara itu pada hari ini.


Ternyata Obama mencipta sejarah yang tersendiri dengan menjadi pemimpin kulit hitam yang pertama dalam sejarah selama 232 tahun kewujudan Amerika Syarikat itu sendiri selepas seorang tokoh kulit hitam juga iaitu Martin Lurther King Jr. yang tersohor dengan ucapan beliau pada 28 ogos 1963 "i have a dream'' di Washington D.C. yang ternyata memberikan semangat kepada beribu-ribu orang sepertimana obama tentang kesedaran untuk tidak menidakkan hak-hak orang kulit hitam di Amerika Syarikat seperti mana yang diperjuangkannya. Kini setelah lebih 40 tahun, ternyata cita-cita Martin Lurther King Jr. telah tercapai.


Apabila mimpi ini ternyata terjadi disebalik perjuangan yang sekian lamanya, terdengar suara sinis dalam negara kita Malaysia tentang kesedaran yang sama untuk melihat bangsa lain berada ditampuk pemerintahan dalam negara. Ini adalah merupakan satu sindrom perbandingan yang amat bahaya bagi sesebuah negara seperti Malaysia yang ternyata hak-hak kesamarataan tersebut tidak termaktub didalam perlembagaan yang disokong oleh semua parti politik komponen yang memerintah negara melalui BN (dahulunya Perikatan) yang termaktub juga dalam konteks kontrak sosial yang tidak boleh dipertikaikan walaupun didalam perlembagaan tidak menyebut bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah semestinya dari Kaum Melayu dan Islam.


Dari segi persefahaman yang telah dibina ternyata UMNO sebagai sebuah parti dominan dalam negara seharusnyalah memegang teraju kepimpinan negara dengan secara "verbal kontrak" yang perlu diterima hakikatnya oleh mana-mana penduduk dalam negara ini tidak kira apa agama dan bangsa mereka.


Sebenarnya Amerika menerima baik bangsa kulit hitam selepas 232 tahun amalan demokrasi dijalankan disebalik bangsa mereka yang telah dijadikan sebagai bangsa hamba abdi yang ditentang bersungguh-sungguh oleh Presiden Abraham Lincoln pada tahun 1861-1865 sebagai presiden ke 13 negara tersebut sehingga wujudnya perang saudara di Amerika. Sebenarnya juga presiden Amerika sebelum daripada ini adalah terdiri daripada ahli birokrat dan bangsawan dari kaum dominan Anglo Saxon dan kristian-protestan yang ternyata tidak membuka ruang langsung kepada mana-mana golongan lebih-lebih lagi kepada bangsa hamba abdi yang ternyata telah mencipta sejarahnya yang tersendiri selepas kehidupan mereka sudah menjadi sudah menjadi senada dan seirama, kehidupan orang kulit hitam dan putih mereka sudah melangkau perjuangan perkara asas seperti ekonomi dan sosial disebalik pencapaian orang kulit hitam di Amerika yang sudah jauh kedepan seperti didalam bidang ekonomi, sukan, sosial dan pentadbiran negara.


Negara kita hanya baru 51 tahun merdeka, dan ternyata kalau dibuat perbandingan antara Amerika dan Malaysia kita jauh berbeza, terutama daripada sudut ekonomi dan sosial yang sudah tentu menuntut supaya UMNO dan kerajaan yang ada pada hari ini berusaha lebih keras lagi terutama dalam membela nasib bangsa melayu yang masih jauh ketinggalan dari banyak lapangan dan bidang.


Dalam negara kita, minoriti hanya boleh bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selepas etnik Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Iban dan lain-lain mula berfikir dan mengamal nilai melayu sepertimana Obama dan orang kulit hitam yang lain di Amerika mula berfikir dan hidup seperti Anglo saxon dan kristian-protestan.


Kalau tidak tak payah lah bermimpi,..or Hoping to dream""

Saturday, November 1, 2008

Ucapan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian-Pemimpin Wajib Menjaga Parti


Alhamdulliillah, pertama-tamanya saya memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah.swt, dan salawat dan salam keatas junjungan besar nabi kita muhammmad rasulllullah s.a.w. yang membawa syiar islam dan rahmat kemuka bumi ini. Saya juga ingin mengucapkan jutaaan terima kasih atas kesempatan masa Ketua umno bhg atas kehadiran utk merasmikan mesy perw pemuda & puteri UMNO bahagian pada kali ini yang ke 18 ini.

Tuan-tuan, puan-puan, sdr sdri sidang perwakilan yang dirahmati Allah sekelian,
Pada tahun ini genaplah usia parti kita selama 62 tahun, dalam usia emas ini kita bersyukur kerana parti kita masih lagi relevan kepada generasi yang ada pada hari ini, sebenarnya relevan atau tidak relevannya UMNO bergantung kepada minat dan kesungguhan kita untuk menunjangi parti keramat yang mulia ini. Sedar tidak sedar , kita telah meninggalkan pilihanraya yang lalu sudah hampir 7 bulan, kita sedar bahawa dalam pilihanraya lalu kita telah menerima tamparan hebat daripada Pakatan Rakyat yang dibelakangi oleh Pas. Dap dan PKR.

Walaupun Barisan Nasional menang dengan majority mudah, walaupun dengan tidak 2/3 majoriti di dewan rakyat kita, apa yang menjadi kehairanan kita ialah apabila kita sendiri merasakan seolah-olah kita telah kalah dalam pilihanraya yang lalu dan terikut –ikut dengan rentak dan sentiment yang dimainkan oleh parti pembangkang. Memang benar kita telah kalah di 5 buah negeri termasuk negeri kita kelantan, yang tidak mampu ditawan kembali sejak 18 tahun yang lalu, namun darisegi keseluruhannya, kita masih lagi menang untuk mentadbir Negara. Dan Negara ini Negara Barisan Nasional.

Sebab itulah apabila ada usaha-usaha parti pembangkang untuk mengambil alih Negara ini melalui cara yang tidak demokratik, melalui saluran cubaan merasuah ahli parlimen dari sabah dan ahli-hali parlimen yang lain dan melalui pintu belakang, maka pemuda dan puteri kubang kerian pada hari ini menyatakan pendirian kita, bahawa kita cukup mengeji dan menghina usaha anwar ibrahim ini, dan memandang kpd usaha ini sebagai usaha mereka yang politiknya sudah hamprak dan corrupt dan tidak mengikut asas demokrasi yang sebetulnya sebagaimana yang diamalkan sejak sekian lama.

Dalam kesibukan kita mentadbir Negara kita yang sudah 51 tahun merdeka ini, dimana kita beranggapan bahawa kita juga matang dalam menguruskan Negara melalui UMNO yang ternyata banyak berjasa kepada agama dan Negara , sejak sekian lama , tetapi kita hairan sejak akhir-akhir ini seolah-olah kita sedar tidak sedar, parti UMNO yang menunjangi kerajaan semakin hari tidak menguasai kerajaan., Kita hairan bagaimana peruntokan untuk pembangunan dalam kawasan parlimen UMNO atau yang kalah dalam pilihanraya yang lalu ,terasa dipinggirkan langsung dari arus pembangunan kawasan, walhal kita juga mempunyai penyokong-penyokong tersendiri yang perlu dipantau atau diberi pembelaan disebalik kekalahan calon UMNO yang bertanding dalam pilihanraya yang lalu, kita juga hairan bagaimana JPPK, seolah-olah takut untuk memberikan peruntokan kpd majlis –majlis UMNO didalam bahagian, sedangkan wujudnya JPPK adalah untuk memberikan saluran yang datangnya daripada kerajaan persekutuan. Kita juga merasa gusar dan gundah gulana apabila kita melihat ramai dikalangan Menteri, Timbalan Menteri dan SU parlimen, dari kalangan pemimpin UMNO yang wujudnya mereka itu kerena sokongan kita yang tidak berbelah bahagi diperingkat akar umbi, yang ternyata tidak bersungguh-sungguh atau tidak secara ghairah membantu pemimpin UMNO dibahagian-bahagian didalam apa saja bantuan yang boleh mengangkat martabat ahli umno diperingkat bahagian, sama ada dari segi sudut agama, social dan ekonomi. Apabila adanya musim pemilihan seperti ini, barulah kita sedar bahawa Menteri dan Timbalan Menteri atau Setiausuaha parliament itu datangnya dari parti UMNO setelah mereka turun kebawah mencari cari pemimpin-pemimpin bahagian semata-mata untuk mencari pencalonan atau undi bagi mengekalkan kedudukan mereka.,
Maka pemuda dan puteri hari ini menggesa supaya kita semua hendaklah membuat penilaian semula kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang seperti ini supaya dibelakang hari mereka semua kenal akan pimpinan umno bahagian yang telah mengangkat naik mereka ditempat yang mereka ada pada ketika ini.



Tuan,puan sdr sdri sidang perwakilan yang hormati sekelian.

Dalam keghairahan kita menawarkan diri untuk berada dikerusi pemimpin, tak kira sama ada diperingkat bahagian atau Nasional, kita semua harus sedar dan insaf bahawa parti kita hari ini berdepan dengan banyak dugaan dan cabaran samaada dari dalam parti sendiri, dikalangan parti komponen barisan nasional atau dari luar parti iaitu pembangkang yang sentiasa mencari helah dan tipu daya untuk menjatuhkan kita disetiap penjuru. Maka janganlah kita semasa disaat parti memerlukan kedudukan yang utuh dengan perpaduan yang tinggi, ada dikalangan kita yang sanggup menjatuhkan maruah parti dengan menghentam dan menghemburkan kata nista dan mengaruhkan semangat yang boleh menjatuhkah maruah sesama seagama, kita merayu kepada golongan seperti ini sekiranya ada dalam kalangan kita supaya bertafakur dan bermuhasabah diri, disamping bertaubat kepada Allah s.w.t dengan keinsafan yang sedalam-dalamnya. “let us preserve what should be preserved, let us protect what should be protected” dengan izin, apa yang perlu kita pertahan, kita pertahankan, apa yang perlu kita lindungi, kita patutnya lindungi’ demi maruah dan parti kita, supaya tidak menjadi sesuatu yang ibaratkan, seperti menepuk air didulang, sehingga terpercik kemuka sendiri, dan ibaratkan membuka pekung didada sendiri, yang akhirnya masyarakat diluar parti maupun pembangkang akan melihat polemic dan pergolakan yang tidak sudah dalam umno, yang kalau dibiarkan akan menjadi barah yang bernanah yang boleh menghancurkan umno pada bila-bila masa.

Dikalangan kita, harus ada perasaan hormat-menghormati, kasih mengasihani, dan janganlah demi cita-cita untuk menjadi pemimpin kita berkelahi sesame sendiri, yang akhirnya parti kita akan tergadai.
Sudah sampai masanya , kita semua bersatu hati, saya selaku ketua pemuda bahagian dan sebagai wakil jurucakap bagi puteri juga pada pagi yang berbahagia ini berjanji untuk mempastikan agar selepas daripada ini, agar pemuda dan puteri kubang kerian akan kembali bersatu dan utuh demi politik dan kesinambungan perjuangan orang-orang terdahulu yang akan memacu kearah kesejahteraan dalam pilihanraya yang akan datang,.Biarlah minority akan kembali bersama-sama dengan majority agar wadah dan agenda untuk parti akan dapat dilaksanakan dan tidak merugikan cawangan-cawangan, diatas politik sempit pemikiran dan kejumudan.

Tuan-tuan, sdr-sdri sidang perwakilan sekelian.

Didalam kesempatan ini juga Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada cawangan-cawangan yang telah mengadakan mesyuarat dengan mengikut peraturan parti dan dengan jayanya, Saya percaya dengan kepimpinan barisan pemuda dan puteri yang akan diangkat bersama dalam pemilihan pada kali ini, insyaAllah akan terus menerus memberikan nafas baru kepada kita semua, dalam melayari bahtera sebagai sayap kepada umno bahagian kubang kerian, saya percaya kita semua akan bersatu hati dengan keazaman yang tinggi, dengan maudud dan jihad yang satu, perjuangan yang jujor dan ikhlas, ikatan kasih yang berpanjangan sudah pasti akan memberikan nafas yang baru kepada umno bahagian kubang kerian.. Percayalah yang kita semua adalah sebagai khalifah Allah. Yang wajib berperanan untuk melihat UMNO Malaysia berada ditempat yang tinggi dihati rakyat, sebaris dengan cita-cita murni untuk mempertahankan agama, bangsa, bahasa dan tanahair. Sekian wassalam ...
Selamat bersidang…


Selamat Datang Ke Blog Malayquest

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pelawat yang melawat laman blog ini, laman blog ini bertujuan untuk berkongsi pandangan dan citarasa masa kini tentang kedudukan orang melayu dan islam dalam negara kita. Sekiranya tuan puan serta saudara saudari mempunyai komen atau apa-apa bersangkutan tentang isu yang dikeutarakan silalah bersama-sama untuk membantu meningkatkan lagi dengan keihklasan untuk membawa orang melayu dan islam dalam negara kita ke tahap yang tertinggi dan sebenarnya....wassalam dan salam hormat
anuar hj safian..