Saya berharap benar kepada sesiapa yang ingin menawarkan diri bertanding dalam pemilihan samaada di peringkat bahagian atau pusat supaya sebelum membuat keputusan untuk bertanding agar bermuhasabah diri terlebih dahulu agar dapat menerima hakikat apabila tidak terpilih atau kalah dalam pemilihan tersebut.
Ini kerana diKelantan sejak akhir-akhir ini mula merebak satu sindrom kurang sihat dikalangan ahli parti yang menjurus kearah perpecahan yang berpanjangan, sehinggakan wujud satu sindrom kecam-mengecam kepada calon yang telah diishtiharkan menang dalam pemilihan tersebut. Sindrom ini telah menyebabkan satu suasana yang tidak bermoral sehinggakan ianya melebihi daripada tentangan kepada PAS dalam pilihanraya. Kalau beginilah sikap sesetengah daripada kita dalam pilihanraya yang lalu, saya rasa amat bersyukur tetapi malangnya tenaga dan wang ringgit telah digunakan secara mudah dengan sanggup membuat poster, banner dan banting sambil mengecam tindakan pemantau perhubungan negeri yang telah diperturunkan kuasa oleh UMNO Malaysia untuk memantau perjalanan mesyuarat-mesyuarat yang telah dijalankan agar mengikut prosedur dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Bagi saya kalau ini dibiarkan ianya boleh menyebabkan satu perpecahan besar berlaku dalam parti yang sedang disaat ini memerlukan pembela-pembela yang boleh meletakkan semula parti diatas landasan yang betul dan sebenarnya.
Saya amat kecewa dan terkilan diatas sikap tersebut yang sekaligus menampakkan adanya satu kepentingan peribadi yang meluak-luak untuk memegang jawatan sehinggakan sanggup bermusuh dan bertindak diluar perbatasan agama dan naluri manusia.
Sehinggakan juga ada yang berlatar belakangkan agama sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak elok untuk dilihat oleh orang luar dari parti.
Saya ingin mengajak mereka ini supaya kembali ke jalan yang sebenarnya. Kalau kita sudah menyerahkan apa-apa bantahan kepada Mahkamah sebagai contohnya, tetapi akhirnya mahkamah telah membuat keputusan menolak bantahan tersebut maka kita kena terima hakikat bahawa itu adalah keputusan muktamad yang tidak boleh diragukan lagi.
Sedarlah parti adalah segala-galanya sekiranya kita ini seorang pejuang, berjuanglah dengan jalan yang jujur dan ikhlas, bukan berjuang untuk merosakkan perjuangan sendiri. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar. Jangan disebabkan nila, susu binasa, sudah terantuk baru terngadah, Orang Muda harus membela bangsa, kalau tidak kita dipandang mudah..
Sedarlah sebelum terlambat...