Saturday, October 18, 2008

Peringatan Raja-Raja Melayu Wajib DiAmbil Iktibar..


BERIKUT adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas Majlis Raja-Raja yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah semalam.]

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

"Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”-- Bernama

Jangan Sesekali Jadi Rakyat Zaman Inggeris & Jepun



Dua malam yang lalu, saya sempat singgah disatu kedai kopi di Pasir Tumbuh, dalam kawasan saya, kebetulan ada mesyuarat pemuda bahagian membincangkan tentang perkara-perkara yang berkait rapat dengan mesyuarat perwakilan bahagian.Kebetulan kedai kopi tersebut berada didepan Pejabat UMNO Bahagian.Tetapi bukan itu yang nak dibincangkan.


Saya amat tertarik dengan satu kenyataan yang dibuat oleh seorang tua(lama) yang sambil menghirup kopinya bertanya khabar tentang kedudukan orang melayu selepas Paklah turun pada bulan Mac 2009 nanti. Katanya dia cukup bimbang kalau sekiranya apa yang akan berlaku nanti seperti pengalaman dizaman jepun. Apabila Inggeris menjajah negara 1895-1941, masa itu orang melayu hidup dalam keadaan yang cukup perit, terpaksa hidup dengan keadaan yang cukup terhimpit, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, soal pentadbiran yang tidak langsung memberi kesempatan kepada orang melayu, dan terus menerus menjadi hamba.


Maka, setiap malam jumaat, semua orang dikerahkan untuk bersembahyang hajat agar Allah membantu rakyat dan negara dan supaya Inggeris keluar dari negeri ini, dan kebetulan kedengaran pada waktu itu, Jepun sedang berusaha untuk menakluk negara-negara asia, maka berdoalah orang kampung semua supaya Jepun datang dan menghalau Inggeris keluar. Maka dimakbulkan Allah s.w.t , Jepun masuk ke negara kita melalui kota bharu, pada malam 8hb Disember 1941.


Tetapi malangnya, apabila jepun masuk ke Malaya yang menandakan bermulanya juga era perang dunia kedua sehari selepas penyerangan di Pearl Harbour Hawaii, orang melayu mula sedar bahawa pemerintahan jepun adalah lebih dasyat daripada apa yang ditinggalkan oleh Inggeris, dengan terpaksa meneruskan hidup dengan memakan ubi kayu, maka berdoalah dan bersembahyang hajat pulalah orang kampung bermunajat bermohon supaya Allah s.w.t memberikan jalan supaya Jepun keluar daripada bumi Malaya, dan memohon supaya Inggeris kembali. Dimakbulkan Allah, selepas 9hb Ogos 1945, Jepun menyerah kalah selepas pengeboman Nagasaki dan Hiroshima, maka kembalilah semula Inggeris meneruskan pemerintahan Malaya, tapi kali ini dengan agak berbeda tetapi meneruskan dasar-dasar lama termasuklah penubuhan Malayan UNION yang ditentang hebat oleh UMNO dan seterusnya menjurus kepada lahirnya kemerdekaan.


Apa yang paling penting tentang kesedaran itu ialah, jangan mudah lupa akan sejarah, dan jangan jadi seperti rakyat zaman inggeris dan jepun, renung-renungkanlah...


Selamat Datang Ke Blog Malayquest

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pelawat yang melawat laman blog ini, laman blog ini bertujuan untuk berkongsi pandangan dan citarasa masa kini tentang kedudukan orang melayu dan islam dalam negara kita. Sekiranya tuan puan serta saudara saudari mempunyai komen atau apa-apa bersangkutan tentang isu yang dikeutarakan silalah bersama-sama untuk membantu meningkatkan lagi dengan keihklasan untuk membawa orang melayu dan islam dalam negara kita ke tahap yang tertinggi dan sebenarnya....wassalam dan salam hormat
anuar hj safian..