Tuesday, March 10, 2009

PPSMI- Dewan Bahasa Punyai Peranan Besar

Saya merujuk kepada keratan akhbar dalam sinar harian edisi Kelantan bertarikh 8hb Mac 2009, bahawa pemuda UMNO kubang Kerian mendesak kerajaan supaya hapuskan perlaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pada hemat saya, apa yang berlaku dalam sehari dua ini dalam kekalutan yang amat sangat berkenaan dengan kajian demi kajian yang telah dibuat oleh kementerian pelajaran terhadap perlaksanaan PPSMI disekolah-sekolah seluruh negara. kita sedar tentang apa kehendak dan kemahuan kerajaan didalam perlaksanaan PPSMI tersebut, ianya tidak lain dan tidak bukan mahu meningkatkan ilmu dan penguasaan pelajar di dalam bahasa inggeris di samping memahami kehendak kementerian supaya penguasaan ini dapat dibuat didalam masa yang singkat.
Dalam masa yang sama kita harus sedar, bahawa ramai guru-guru di kelantan lebih-lebih lagi di luar bandar yang saban hari merungut dengan kepayahan mereka untuk mengajar pelajar bagi mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris ini. Saya terpanggil untuk membicarakan soal ini kerana sekiranya kita ingin mempastikan PPSMI tersebut dilaksanakan dengan jayanya, kita hendaklah terlebih dahulu mempersiapkan guru-guru kita supaya merekalah yang terlebih dahulu mahir dalam bahasa inggeris. Sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran yang susah ini tidak menjadi lebih rumit.
Asas dan perkara pokok ini sekiranya tidak dilaksanakan akan menyebabkan kekacauan dalam sistem pendidikan negara. Tidak hairanlah ramai yang menentang perlaksanaan ini termasuk guru-guru yang terlibat semasa bantahan PPSMI oleh GMP( Gerak Mansuh PPSMI) dua hari lepas.
Bagi saya, kita melihat contoh negara maju Jepun dan China , sejak dari dulu sampai sekarang mereka tidak melupakan bahasa ibunda mereka dalam setiap pengajaran mata pelajaran, lebih-lebih lagi dasar tertutup yang mereka amalkan, tetapi mereka sedar bahawa bahasa inggeris adalah bahasa maju yang wajib dipelajari ilmunya dengan mencedok isi dan ilmu didalam setiap penerbitan yang dikeluarkan dalam bahasa inggeris.
Sebab itulah, apabila setiap kali judul tersohor dikeluarkan didalam bahasa inggeris, kerajaan mereka dibawah agensi bahasa masing-masing akan mempastikan untuk mangalih bahasa judul tersebut tidak kurang dari 2 minggu selepas ianya diterbitkan. Secara tidak langsung, pelajar-pelajar sekolah atau rakyat mereka akan mudah memperolehi ilmu yang didapati dalam buku atau judul terbabit dengan cepat tanpa mempelajari bahasa inggeris terlebih dahulu.
Didalam negara kita, kita mempunyai Dewan Bahasa dan Pustaka yang tugasnya ialah menerbit buku-buku ilmiah karya dalaman negara, disamping menjaga bahasa dan dasar bahasa kebangsaan. Tetapi usaha untuk membuat penterjemahan secara berkala atau secara tetap judul-judul tersohor haruslah dibuat dengan bersungguh-sungguh agar segala ilmu yang ada dalam terbitan bahasa inggeris akan dapat dimanfaatkan dengan jayanya.
Dewan Bahasa dan Pustaka haruslah diperkasakan oleh kerajaan dengan memperuntokan sejumlah wang yang besar disamping berusaha untuk melahirkan penterjemah-penterjemah yang berkaliber supaya segala permasalahan trasformasi ilmu ini akan dibuat dengan mudah dan tersusun.

3 comments:

Suria said...

Salam,

Saya bersetuju bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya memainkan peranan bagi memastikan segala ilmu dalam pelbagai bahasa disebar luaskan kepada rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu. Namun, kita perlu mengakui bahawa keadaan ini tidak berlaku, mungkin kerana tiada keperluan atau pejuang bahasa kita sendiri tidak bersungguh-gungguh dalam menggerakkan usaha untuk memandaikan bangsanya melalui bahasa Melayu. Amat sukar untuk mencari buku ilmiah kanak-kanak dalam bahasa Melayu tetapi buku Bahasa Inggeris banyak di pasaran. Sebenarnya, ada buku Sains yang mengambil masa lebih dari 5 tahun untuk diterjemahkan ke bahasa Melayu.

*Bahasa Inggeris telah bertapak di Malaysia*
Sebagai warga Malaysia, kita perlu menerima hakikat bahawa sejarah negara telah membawa kita kepada satu keadaan di mana Bahasa Inggeris (BI) diterima dan digunapakai oleh masyarakat. Malah, saudara blogger sendiri menggunakan BI untuk menamakan blog ini iaitu “Malay Quest”. Keperluan untuk menterjemah ilmu ke bahasa Melayu tidak wujud di negara kita berbanding dengan negara yang bergantung sepenuhnya kepada satu bahasa ibunda seperti Jepun, Cina, Korea, Indonesia, Thailand, German, Perancis. Negara kita subur dengan pendedahan kepada BI di merata-rata tempat. Sebagai ukuran, media cetak dan elektronik dalam BI mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan keadaan ini tidak berlaku di negara-negara yang disebutkan tadi. Amat tidak adil jika kita membandingkan negara kita dengan negara tersebut kerana mereka telah membina satu barisan penterjemah yang menguasai bukan sahaja bidang bahasa tetapi juga bidang ilmu yang ingin diterjemah. Justeru, kita perlu bermuhasabah diri dan memikirkan siapakah yang akan ketinggalan dalam senario semasa negara kita.

*PPSMI memberi peluang kepada anak-anak luar bandar*
Realitinya sebilangan masyarakat kita sudah menguasai Bahasa Inggeris (BI) dan mereka ini akan mendapat kelebihan. Jika anak-anak luar bandar tidak diberikan peluang dan pendedahan yang lebih dalam BI, mereka akan ketinggalan terutamanya dalam penguasaan Sains dan Matematik. Anak-anak di bandar mendapat peluang dan pendedahan yang meluas termasuklah secara tidak langsung melalui media cetak; internet; siaran tv seperti Discovery Channel dan Animal Planet; serta melalui pendidikan awal seperti Smart Reader dan Kumon. Sekurang-kurangnya PPSMI memberi ruang dan pendedahan yang lebih kepada BI melalui pendidikan secara formal. Penentang dasar PPSMI cuba menafikan bahawa BI diperlukan oleh majoriti rakyat, tetapi peluang kerja lebih luas kepada mereka yang menguasai BI dengan baik. Tanpa pendedahan, anak luar bandar tidak dapat mengakses ledakan ilmu yang dihidangkan secara percuma dalam BI melalui internet dan tidak pula mendapat peluang untuk menjawat kerjaya professional yang bergaji tinggi yang memerlukan pelaporan dalam BI seperti jurutera dan akauntan. Yang tinggal hanya kerjaya yang tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan walaupun bertaraf profesional. Terimalah kenyataan bahawa media pernah melapurkan bahawa sekarang ini pengangguran dalam kalangan lepasan IPTA jauh lebih tinggi (sekitar 70%) berbanding IPTS (sekitar 35%) dan lulusan luar negara (sekitar 25%). Kebanyakan IPTA menggunakan BM sebagai pengantar manakala kebanyakan IPTS menggunakan BI sebagai pengantar dan hasilnya, mereka di IPTS lebih cemerlang dalam temuduga kerana keupayaan mereka untuk menyampaikan hujah dalam BI. Mungkin saya silap tetapi dari pengamatan saya lebih ramai pelajar Bandar yang menyambung pengajian di IPTS berbanding pelajar luar Bandar. Justeru, di manakah letaknya peluang dan pembelaan bagi pelajar luar Bandar? Mereka yang tidak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi juga memerlukan menguasai BI untuku mengakses dan menyampaikan ilmu dan memajukan diri dalam kerjaya. Justeru, saya merasakan bahawa dengan menghapuskan PPSMI, kita akan menidakkan peluang yang sepatutnya sama rata bagi mereka yang mempunyai IQ yang sama tidak kira dari Bandar atau luar Bandar. Kita tidak mahu timbul satu keadaan di mana anak-anak luar Bandar yang mempunyai IQ yang sama tinggi terlepas peluang untuk mendapat pekerjaan semata-mata kerana kegagalan untuk mencapai dan menyampaikan ilmu dalam BI.

*Jati diri bangsa Melayu*
Jangan mudah terpedaya dengan hujah pejuang-pejuang bahasa yang mempunyai kelebihan dalam menghasilan penulisan yang kemas dan cantik serta bijak memanipulasikan maklumat untuk mengkaburi mata rakyat. Jati diri Melayu tidak akan luntur kerana PPSMI. Keadaan ini telah terbukti di mana jati diri anak-anak Melayu lepasan sekolah aliran Inggeris dalam era 60an serta lepasan institut pengajian tinggi yang menggunakan pengantar BI seperti UITM dan UIA tidak tergugat. Jati diri anak-anak Melayu bukanlah serapuh seperti yang diperkatakan oleh penentang PPSMI. Malah, 31 PIBG dari Pasir Puteh, Kelantan yang sememangnya terletak di luar bandar turut menyatakan sokongan kepada PPSMI. Saya yakin wakil-wakil PIBG ini tidak merasakan bahawa jati diri anak-anak mereka terhakis setelah mengharungi PPSMI dalam masa 6 tahun kebelakangan ini

*Gerakan Mansuh PPSMI didalangi pembangkang*
Pendidikan tidak patut dipolitikkan. Tetapi pejuang bahasa yang tidak memandaikan bangsa dengan berdemonstrasi telah menjemput parti pembangkang untuk menjadi tulang belakang kepada perjuangan mereka. Umum tahu, Pemuda Pas seluruh negara diarah berdemonstrasi, malah ahli Pas dari Kelantan sendiri turun memenuhi koc-koc keretapi ke KL untuk menyerahkan memorandum kepada YDP Agong. Mereka juga telah menyerahkan memorandum di Kuala Terengganu, menyerahkan memorandum ke wakil-wakil parlimen dalam kalangan pembangkang serta menyediakan rumah-rumah khas untuk berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Memorandum Gerakan Mansuhkan PPSMI secara jelas menunjukkan sikap yang ingin mempengaruhi orang ramai supaya membenci kerajaan BN. Kerajaan BN dikatakan tidak berunding, PPSMI tidak pernah diminta oleh rakyat dan macam-macam lagi. Kenapa pula sekarang kerajaan perlu meminta izin dari rakyat untuk melaksanakan dasar sedangkan kerajaan BN telah mendapat mandat untuk memerintah? Setelah berpuluh-puluh tahun memerintah, kerajaan sedaya upaya menggubal dasar berdasarkan fakta untuk kepentingan rakyat dan tanpa diganggu gugat oleh Pembangkang. Perbincangan, analisis, keputusan, pelaksanaan dasar dijalankan oleh kerajaan untuk memajukan negara dan bukannya sebaliknya. Justeru, elakkanlah dari menjadi penyokong agenda pembangkang...

Suria,
Anak jati Kelantan

Akmal said...

Salam.

Saya juga bersetuju bahawa DBP mempunyai peranan yang besar. Namun segala amanah untuk mempertahankan bahasa Melayu tidak mudah dan memerlukan 'kesanggupan' yang luhur dan padu.

Jika ada yang menuduh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) didalangi oleh pihak pembangkang, maka saya berpendapat individu tersebut perlu merenung dengan lebih mendalam.

GMP diketuai oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad. Bekas Pengarah DBP dan Duta Malaysia ke UNESCO.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said (Pak Samad) juga AJK GMP.

Begitu juga dengan Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Bakar Hamid, pensyarah UM dan Bekas Pengarah BERNAMA.

Datuk Baha Zain, Bekas Timbalan Pengarah DBP dan seoarang ahli bahasa.

Tidak lupa juga Prof. Zainal Kling, Prof Emeritus Ismail Hussin dan kerabat-kerabat pejuang bahasa dari GAPENA.

Tidak ketinggalan juga Prof. Diraja Ungku Aziz yang kita hormati kerana banyak jasa kepada negara, juga melahirkan pendapat bahawa PPSMI perlu dimansuhkan.

Nama-nama yang saya sebut ini hanyalah sedikit daripada tokoh-tokoh akademik, pendidik, negarawan, sasterawan, budayawan dan ramai lagi yang benar-benar menentang dasar PPSMI ini.

Isu PPSMI ini bukan isu politik kerana isu ini merentasi kaum dan agama dan parti politik.

Saya ingin bertanya kepada mereka yang menyokong PPSMI ini.....siapakah tokoh, budayawan, sasaterawan, ahli akademik mahupun Prof Diraja yang mengatakan bahawa dasar PPSMI ini PERLU DITERUSKAN?

Kemudian....kemukakan kajian ilmiah yang mengatakan juga bahawa dasar PPSMI ini telah berjaya!

Dalam hal PPSMI ini kita perlu berpihak....dan saya di pihak 'Mansuh PPSMI' sebab dipihak yang nak PPSMI ini tidak kemukakan kajian akademik melainkan keputusan UPSR, PMR da SPM.

Saya tak percaya kepada keputusan UPSR, PMR dan SPM kerana ada ahli keluarga saya terkejut kerana keputusan yang mereka dapat dalam sains dan matematik begitu tinggi.

Malah, ada kenalan yang selalu gagal dalam subjek berkenaan boleh mendapat 'A'....Ini cukup menghairankan saya!

Ya....kepada mereka yang nak PPSMI akan memberi hujah bahawa buku rujukan tak cukup, DBP tak alih bahasa, bahasa inggeris bahasa ilmu, bahasa inggeris bahasa antarabangsa dan banyak lagi.....

Tetapi TIDAK ADA TOKOH mahupun AHLI AKADEMIK yang mengatakan sedemikian....WALHAL, RAMAI YANG MENENTANG dasar PPSMI ini kerana hanya mengundang malapetaka...

Sekian, terima kasih.

Suria said...

Salam saudara blogger,

Mohon maaf kepada saudara blogger tapi saya memang nak tergelak bila membaca komen dari Akmal…justeru saya ingin meminta keizinan untuk memberi komen saya kepada Akmal.

Kepada saudara Akmal,

Awak ni Penolong Setiausaha Media GMP tu ke? Patutlah menulis panjang lebar tanpa jemu. Kalau benarlah tuan ni PSU Media yang berumur 25 tahun, berasal dari Petaling Jaya dan ‘bersekolah’ di tempat yang 'menggunakan BI' iaitu di Bukit Bintang Boys School (BBBS) dan di International Islamic University (UIA), maka saya ingin menyeru supaya saudara bermuhasabah diri. Hujah yang saya utarakan langsung tak terbalas, tetapi saudara hanya mengutarakan dua fakta iaitu:

1. Pejuang bahasa bersetuju dengan GMP – sememangnya saya akui penjuang bahasa Melayu dan Cina ahli kepada GMP, tapi kalau saudara betul-betul membaca kesemua penulisan penyokong dan pembangkang PPSMI, saudara akan 'jumpa' penyokong-penyokong PPSMI yang menyokong berdasarkan keperluan bidang Sains dan Matematik dalam konteks negara kita di kalangan cerdik pandai masyarakat Malaysia. Tetapi kebiasaannya mereka di kalangan penyokong pembangkang ni tak boleh nak di bawak berunding dan tidak mendengar atau menerima pendapat yang berlainan dari mereka....

2. GMP tidak didalangi pembangkang – bacalah hasil penulisan berikut. Saya telah menyalin dari http://anotherbrickinwall.blogspot.com dan saya bukan sekadar meletakkan url kerana kuatir nanti ada pembaca yang tidak akan klik url tersebut.

Ikhlas,
Suria

Pendedahan mengenai GMP, Dr Hasan berbohong

Saya percaya penuh kepada demokrasi dan kebebasan rakyat untuk bersuara, mengadakan tunjuk perasaan, dan kebebasan akhbar. Lakukan dengan aman, sopan dan bertanggungjawab.

Namun demikian, saya tidak boleh menerima apa yang berlaku pada hari Sabtu. 'Perhimpunan halal' menentang PPSMI dijadikan perhimpunan politik dan seterusnya dijadikan 'perarakkan haram' untuk memberi kacamata buruk rakyat terhadap pemerintah dan pihak pengaman awam.

Kalau sudah berjanji dengan polis hanya perhimpunan dan beberapa saja yang akan hantar memorandum, kenapa dilanggar perjanjian itu? Dari gaya ianya diatur, strategi dan personalitinya yang terbabit, ianya sama dengan Perarakkan Bersih pada tahun 2007. Perhimpunan dan 'perarakkan haram' itu mempunyai agenda disebaliknya.

Memang tujuan asal untuk menimbulkan kekecohan jalanraya dengan dipinta disembur water cannon dan gas pemedih mata. Di sini saya bersetuju dengan tindakan polis dan sepatutnya lebih berkeras supaya 'public order' dihormati dalam amalan kebebasan bersuara.

Dato Dr Hasan Ahamd dalam sidang akhbar semalam (dalam video) cuba menafikan perhimpunan dan perarakkan haram itu didalang oleh pembangkang. Katanya, apa yang terjadi di luar kuasa pihak penganjur. Padanya, konon satu penghinaan untuk mengelar dirinya dan mereka yang datang sebagai boneka kepada tok dalang.

Saya kata dia berbohong. Pantang besar saya apabila orang berbohong. Walaupun saya tidak bersetuju sangat dengan PPSMI, saya tiada toleran kepada pembohong. Maka saya akan dedahkan seluruhnya mengenai Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP).

Saya tidak peduli apa akibat pendedahan ini sebab Dr Hasan sanggup bersekongkol dengan mereka-mereka yang perjuangan politik khusus untuk mencabul dan menghancurkan hak dan kepentingan Melayu dan Pribumi, yang tertera dalam Perlembagaan.

Pada hari itu, Dr Hasan sendiri yang mengapi-apikan lebih untuk ikut dan menyamar sebagai pelancung. Sepanjang dia berdalih-dalih untuk meminta lebih ramai dapat ikut ke Istana Negara sebelum 'perarakkan haram' itu, ianya menunjukkan sudah ada niat untuk melanggar 'perjanjian' dengan polis.

Pada hari itu, beberapa pemimpin politik timbul dari corok-corok mana untuk berarak. Bukankah itu suatu yang terancang?

Fitrahnya mana-mana pihak penganjur perlu bertanggungjawab di atas apa yang berlaku dan Dr Hasan tidak boleh berlakun seolah-olah dia tidak terkawal keadaan hingga menjadi 'perarakkan haram' hingga polis terpaksa mengawal keadaan dengan menyembur air dan gas pemedih mata.

GMP adalah satu gerakan terancang dari perbincangan pada Disember 30hb, 2008 di Yayasan Penataran Ilmu antara beberapa pertubuhan, parti politik dan pejuang bahasa. Pertubuhan yang terlibat adalah Kesatuan Sekerja DBP. PAS, PLM, PKPIM, ABIM, GAMIS, TERAS, dan PPBUM. Mereka bersetuju untuk mengadakan Himpunan 100 Ribu bagi menyerahkan memorandum kepada Agong.

Satu pertemuan telah diadakan dengan Dato Dr Hasan Ahmad pada Januari 8hb, 2009 di Yayasan Karyawan. Di situ dia bersetuju untuk menjadi Pengerusi Badan Induk GMP. Dalam satu Mesyuarat di bilik mesyuarat Dewan Undangan Negeri Selangordi Shah Alam pada Januari 20hb, 2009, diumumkan anggota ahli-ahli Jawatankausa terlibat.

Selain Dr Hasan sebagai Pengerusi, Jawatankausa Badan Induk terdiri dari Prof Dr Shahril Mat Zin (Timbalan Pengerusi), Prof Emritus Abdullah Hassan (Naib Pengerusi) Hasni Abas (Setiausaha) dan Suhaizan Kaiat (Penolong Setiausaha). Selain Suhaizat yang merupakan penggiat PAS, pemegang utama Jawatankuasa ini kelihatan seolah-olah terdiri Pejuang Bahasa. Dalam ahli Jawatankausa, ada anggota YB Dato Nasaruddin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS) dan Mustafa Kamil Ayub (Naib Presiden PKR).

Peranan parti politik lebih ketara dalam Jawatankuasa Pelaksana yang mengatur strategi perhimpunan dan 'perarakkan haram'. Mereka terdiri dari Hasni Abas (Pengarah), Suhaizan Kaiat (PAS, Tim. Pengarah), Saifullah (S/uaha), Faisal (Pen. S/Usaha), Akmal Hisham (Pen S/U Media), Kamaruzzaman (Bendahari), Sany, Abd Razak, Wasif, Firdaus, Kamal, Wan Faisal, dan YB Yusmadi (PKR Balik Pulau).

Walaupun pejabat Pena menjadi urusetia tetapi peranan penggiat politik sangat ketara. Pada perbincangan itu, jumlah 100,000 tidak dijangka boleh tercapai kerana ia memerlukan masa dan kewangan yang banyak. Pada malam itu, Timbalan Presiden PAS hanya sedia memberi komitmen seramai 10-15,000 ahli PAS. Manakala PKR hanya berupaya membawa dalam 5,000 orang.

Dengan demikian, mereka perlu berusaha dan satu roadshow telah dirancang seluruh negara Selangor, Pahang, Perak, Kedah Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan tuntuk setiap hari minggu dari Januari 31hb hingga Februari 21hb. Perhimpunan kecil di Sogo dan Majlis penyerahan Memorandum kepada Anwar Ibrahim dan sidang akhar di Parlimen memang sudah terancang.

Mengikut dokumen rancangan yang disediakan oleh penggiat Suhaizan Kaiat, penggiat PAS, satu acara akan diadakan pada Mac 14hb anjurkan oleh Pemuda PAS Pusat, seminggu sebelum Perarakkan Gerakan Mansuh ISA pada Mac 21hb. Dari butiran ini, jelas sekali peranan pembangkang sangat besar dari awal hingga Mac 14hb ini.

Sebelum ada suara-suara nak menuduh saya berbohong dengan butir-butir ini, biar saya beritahu sekali bujet kewangan GMP. Betul ke tidak bujetnya RM85,800 dan mereka mengharapkan sebanyak RM40,000 dari kerajaan-kerajaan negeri bawah Pakatan Rakyat? Kalau tidak tahu, baik diam saja.

Kalau hanya 29 NGO yang terlibat (termasuk Kumpulan Pendidikan Cina dan Tamil), tidak mungkin jumlah hadhiran boleh mencapai 20,000 yang dianggarkan. Hanya parti pembangkang yang mempunyai organisasi, infrastruktur dan jumlah tenaga untuk membolehkan perhimpunan haram sedemikian.

Sebagai deal untuk membantu pejuang bahasa, mereka kena bersetuju untuk memberikan PAS dan PKR untuk gunakan sebagai platform politik mereka dan ini termasuk merempuh polis dan buat perarakkan haram hingga disembur air dan gas pemedih mata. Ini diambil peluang sebagai propaganda untuk menghina pemerintah dan polis. Jangan hairan mereka akan melabel UMNO sebagai tidak memperjuangkan orang Melayu kerana PPSMI.

Kalau tidak kerana agenda pendalang, bukankah bodoh kelihatan orang Melayu merusuh atas isu yang sedang ditangani dan masih belum dibuat keputusan muktamad? Tidaklah juga niat pihak berkuasa untuk merendahkan Bahasa Melayu?

Tidak kah terfikir kita, dimanakah mereka yang konon menjuangkan bahasa Melayu ketika apabila DAP menuntut bahasa Cina dan Tamil diberi kedudukkan yang sama untuk papantanda rasmi? Nik Aziz bersetuju dan Anwar Ibrahim pun bersetuju.

Apa ceritanya bila Anwar mengkokokkan Ketuanan Rakyat yang mengetepikan Ketuanan Melayu yang merupakan sebahagian Perlembagaan dan kedaulatan negara ini? Kenapa mereka berdiam apabila DAP membuat fitnah jahat menuduh amalan Apartheid? Dalam Apartheid, minoriti yang menguasai ekonomi.

Pejuang Bahasa adalah yang sebenarnya Nasionalis yang bersetuju dengan kedudukkan agama Islam, hak-hak Melayu, kedudukkan Raja, askar Melayu dan tanah rizab Melayu. Ini semua adalah sebahagian dari Ketuanan Melayu. Kenapa mereka bersekongkol mereka yang menentang Ketuanan Melayu dan berslogan atas nama Ketuanan Rakyat? Nik Aziz juga yang berkata Bumiputera itu tidak penting lagi dan ini bertentangan dengan hak dalam Perlembagaan.

Tak payahlah Dr Hasan nak berbohong lagi.
AT 3/10/2009 11:00:00 AM

Kalau tak dipolitikkan, kenapa umum GMP dibawa ke Bukit Gantang dan Selambau?
Bertambah pembohongan dan pemutarbelitan kumpulan GMP ini. Menurut laporan Malaysiakini.com, Anwar mengumumkan rancangan membawa isu 'perarak haram' GMP ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Bukankah ini untuk mempolitikkan PPSMI, satu isu pendidikkan, pembinaan negara bangsa, dan pengetahuan? Tidakkah Dato Dr Hasan Ahmad dan Dato A Samad Said berkata mereka tidak digunakan oleh pembangkang?

PKR dan PAS bukan percaya sangat pada Agenda Melayu. Bukankah Nik Aziz berkata Bumiputera tidak releven? Bukankah Anwar berkata samarata macam DAP tapi konon perjuangkan Artikel 153?

Bila DAP memanggil dasar kerajaan apartheid kerana mengimplimentasikan Artikel 153, berdiam saja PAS dan PKR yang konon berkata mempertahankan hak keistimewaan Melayu?

PKR dan PAS yang konon menentang PPSMI bersetuju dengan DAP menghina bahasa Melayu dengan letak bahasa Cina dan Tamil setaraf dengan bahasa Melayu pada papantanda rasmi? Kenapa pejuang bahasa, PAS dan PKR bersetuju?

Nampak sangat pembangkang sudah kehausan isu kerana perlu mengaburi pengundi akan isu derhaka terhadap Sultan Perak dan keperibadian buruk bekas ADUN PKR BUkit Selambau. Tujuan mereka untuk menipu rakyat seolah-olah UMNO sudah tidak memperjuangkan Melayu.

Awas dengan pembohong-pembohong ini.

Laporan seperti berikut:
Kempen anti-PPSMI ke Bkt Gantang, Bkt Selambau

Abdul Rahim Sabri Mar 10, 09 1:14pm

Kemaskini 3.23pm Setelah berjaya mengadakan demonstrasi besar, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan melebarkan kempennya bagi menjelaskan pendiriannya membantah dasar kontroversi itu di dua pilihanraya kecil bermula hujung bulan ini.

Setiausaha gabungan itu Hasni Abas berkata ia akan turut serta dalam kempen di kawasan parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah bagi terus menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Dua pilihanraya itu - yang diadakan serentak dengan DUN Batang Ai di Sarawak - berlangsung antara 29 Mac hingga 7 April.

Gabungan itu pernah berkempen ketika berlangsung pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, Januari lalu.


Mereka menabur kira-kira 50,000 risalah yang menyifatkan PPSMI sebagai satu "pengkhianatan" terhadap bangsa dan negara.

Mengulas mengenai perkara tersebut, timbalan setiausaha GMP Suhaizan Kaiat menambah selain untuk berkempen, ia ke sana untuk “membalas jasa” penyokong-penyokong yang hadir dalam demonstrasi Sabtu lalu.

"Kita akan ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau untuk berkempen berhubung isu PPSMI dan membalas jasa mereka yang hadir (dalam demonstrasi)," katanya.

Kira-kira 8,000 aktivis bahasa, sasterawan dan penyokong pembangkang berarak ke Istana Negara dari Masjid Negara petang Sabtu lalu dalam usaha menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan mereka melanggar arahan polis - yang membenarkan mereka berhimpun di masjid berkenaan sahaja dan melarang sebarang perarakan - kemudian didakwa akibat didalangi parti-parti pembangkang.

Mengulas perkara tersebut, Hasni (dua dari kiri) berkata "isu dalang tidak timbul" kerana GMP memang turut disertai oleh barisan aktivis bahasa, NGO dan parti-parti politik.

Bercakap dalam satu sidang media di Rumah PENA, Kuala Lumpur hari ini, beliau mengulas penafian pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad semalam.


Suhaizan (dua dari kanan) menambah, isu dalang dan kekacauan dalam perarakan adalah satu cara untuk mengalih perhatian umum daripada membicarakan isu sebenar.

"Kalau menuduh GMP didalangi oleh parti pembangkang PAS, PKR dan DAP, mereka berada dalam jawatankuasa ini bersama-sama kami.

"Tidak ada dalang di sini," katanya, yang juga ketua penerangan Pemuda PAS.

"Kita konsisten dengan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan, untuk menyelamatkan bahasa ibunda dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah."

Hasni berkata, gabungan tersebut terdiri daripada 135 NGO dan ia merentasi budaya, politik, agama dan ras.

"Kami juga mengundang Umno (untuk menyertai gabungan ini), tetapi mereka enggan," katanya.
UMNO memang dijemput tetapi enggan terlibat kerana perhimpunan dan perarakkan yang melibatkan pembangkang selalu melanggar tata tertib dan merosakkan keamanan awam. Buat apa UMNO terlibat dengan parti-parti perusuh dan anarkis yang tidak menghormati undang-undang, perlembagaan dan menderhaka Raja?
AT 3/10/2009 06:00:00 PM

Selamat Datang Ke Blog Malayquest

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pelawat yang melawat laman blog ini, laman blog ini bertujuan untuk berkongsi pandangan dan citarasa masa kini tentang kedudukan orang melayu dan islam dalam negara kita. Sekiranya tuan puan serta saudara saudari mempunyai komen atau apa-apa bersangkutan tentang isu yang dikeutarakan silalah bersama-sama untuk membantu meningkatkan lagi dengan keihklasan untuk membawa orang melayu dan islam dalam negara kita ke tahap yang tertinggi dan sebenarnya....wassalam dan salam hormat
anuar hj safian..