Apabila kita bercakap soal sistem, kita akan melihat bahawa sistem adalah merupakan suatu ketetapan mustahak yang merangkumi aspek dan susunan yang memungkinkan benda atau sesuatu yang berada di dalam sistem itu mengikut sepertimana yang termaktub dalam sistem yang diselaraskan atau yang digubalkan oleh pertubuhan atau superior.
Dalam perniagaan, kita perhatikan banyak syarikat multinasional yang berjaya diperingkat global adalah terdiri daripada syarikat yang mempunyai sistem samada dalam pentadbiran atau aspek pengurusan yang mana ketua kepada sistem tersebut kadangkala tidak perlu lagi melihat kepada perkara remeh-temeh pengurusan kerana ianya sudah termaktub dan hanya penyelarasan yang wajib diikuti oleh pekerja yang berada didalam sistem tersebut. Natijah disebalik pengingkaran kepada sistem akan menyebabkan organisasi menjadi lembab, Jualan akan susut, Imej akan tercemar, dan usaha kearah kecemerlangan akan terbantut. Ini adalah sistem.
Kita mengambil contoh Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald misalannya adalah merupakan sampel terbaik bagi menerangkan tentang prepentingnya sistem yang diamalkan didalam kedua-dua syarikat itu yang mana, sesiapa sahaja yang berada didalam konglomerat tersebut wajib mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan didalam sistem yang telah digubalkan. Dan sistem tersebut tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak dan sudah menjadi suatu perlembagaan kepada syarikat samaada sesiapa sahaja yang menerajui atau menjadi pemilik franchise kepadanya atau yang bekerja dengannya wajib melaksanakannya.
Ini terbukti apabila, ianya merangkumi daripada segenap segi, dari sekecil-kecil peranan tukang cuci, tukang masak, sehinggalah kepada cashier yang menguruskan kewangan, semuanya berada didalam sistem yang telah dibukukan.
Dalam UMNO, sejak daripada penubuhannya, pada 11hb Mei 1946, sememangnya UMNO mempunyai perlembagaan yang dipanggil perlembagaan parti-iaitu peraturan-peraturan sebagai ahli parti dan sebagai organisasi, dan walaupun kerapkali dibahas dan ditambahnilaikan, atau diperbaharui mengikut matlamat dan perjuangan semasa, namun UMNO masih lagi belum ada sistem yang wajib diikuti oleh sesiapa saja yang memimpin samada daripada sebesar-besar pemimpin diatas termasuk Presiden, Timbalan presiden dan Naib-Naib Presiden, Wanita Pemuda dan Puteri sehinggalah melibatkan kepimpinan dibawah termasuk bahagian dan ranting-ranting diperingkat cawangan.
Saya berani mengatakan demikian kerana, seringkali wujud double-standard atau dengan kata lain, keputusan dua muka yang kadangkala boleh menyebabkan UMNO wujud sebagai sebuah parti yang tidak mengamalkan keadilan dan ketelusan didalam pentadbiran. dan kadangkala terdengar "oleh kerana UMNO adalah Politik, maka kadangkala jawaban kepada persoalan hendaklah berbaur politik, ibaratkan 2+2 bukan 4 tetapi 6 atau 8 atau 10, atau apa sahaja yang memungkinkan jawaban mengikut selera dan sentimen" kata sesetengah daripada penganalis politik yang saya dengari.
Pada hemat saya, keputusan daripada politik adalah berbentuk politik sekiranya ianya melibatkan parti lawan atau dalam berhujah dengan parti pembangkang dalam pembentukan fakta untuk menentang dan sebagainya, tetapi sekiranya ianya melibatkan masalah dalaman, saya yakin dan percaya UMNO menyimpang jauh daripada apa yang sepatutnya ada dari Sistem.
Kita melihat pada hari ini, UMNO sebagai sebuah parti dominan dalam kerajaan yang ditunjangi BN sejak sebelum Merdeka, seringkali dilabel sebagai parti yang mengamalkan politik wang, didada akhbar dan media eletronik, seringkali menggambarkan kerakusan pemimpin dalam mana kita berdepan dengan pemilihan parti di setiap 4 tahun sekali. Ini semua adalah kerana, kita tidak mempunyai sistem dalam pemilihan.
Dada-dada akhbar yang memaparkan kepincangan politik wang, dan media eletronik juga memainkan peranan yang berterusan kerana kita tidak mempunyai sistem yang mengawal media daripada meneruskan agenda memburok-burokkan parti kerajaan, sedangkan kita adalah kerajaan. Sesuatu topik tidak akan terus diperbincangkan atau diperdebatkan sekiranya kita dapat mengawal tajuk hangat tersebut daripada merebak, ini berlaku secara terus menerus kerana UMNO tidak berusaha untuk mempelopori sistem dalam kawalan kepada media.Ini tidak berlaku sama sekali di Singapura misalannya sejak daripada zaman, Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong sehinggalah kepada zaman Lee Hsieng Loong yang ada pada hari ini. Ini bukanlah bermakna Rakyat Singapura tidak berhadapan dengan isu besar, tetapi kerajaanlah yang mempunyai peranan dan sistem untuk mengawal isu, dan ianya wajib diikuti oleh agensi dan syarikat berkepentingan Kerajaan (GLC) apatah lagi yang melibatkan isu parti yang menguasai kerajaan. Ini boleh dilihat didalam tontonan VCD "the success story of Singapore by Lee Kuan Yew".
Dalam pemilihan UMNO misalannya, sepertimana apa yang telah berlaku di Seremban , didalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian tersebut baru-baru ini, UMNO tidak mempunyai suatu sistem yang boleh digunapakai dan diseragamkan untuk mengelak perkara tersebut daripada berlaku. Ini boleh dijadikan contoh apabila UMNO kubang kerian, yang juga salah satu daripada bahagian-bahagian panas dalam negara, yang kalau difokuskan boleh diletakkan pada tahap "Kod Hitam" berjaya mengadakan mesyuarat kerana mempunyai sistem awal yang direka khusus oleh pimpinan bahagian, dimana para perwakilan sahaja yang benarkan masuk kedewan dengan menapis kehadiran dipintu pagar masuk disamping pemerhati yang dibenarkan oleh Ketua cawangan sahaja yang boleh berada didewan semasa perasmian dan mereka, mengikut sistem, hendaklah keluar dari dewan apabila mesyuarat hendak dimulakan. Ini adalah contoh sistem yang berupaya untuk menyekat daripada berlaku keributan didalam dewan yang boleh mengaruhkan pergaduhan dan sebagainya. Kebiasaannya, pergaduhan tercetus adalah kerana pengaruh orang luar yang tidak menjadi perwakilan di dalam dewan, yang menyebabkan wujudnya suasana panas yang memungkinkan bertindak diluar perbatasan peraturan parti.
Di dalam Pentadbiran sebagai pemimpin parti juga, UMNO harus mewujudkan sistem yang wajib dilaksanakan di dalam tadbir urus sebagai pemimpin kepada bahagian. Kod sistem ini hendaklah digubal supaya sesiapa yang ingin memimpin UMNO bahagian sehinggalah kepada pemimpin sayap wajib mengikut sistem yang perlu dilaksanakan. Sebagai contoh, hari ini kita melihat ramai pemimpin-pemimpin berlumba-lumba ingin memegang jawatan dalam parti tetapi tidak mendalami sepenuhnya apakah tugas-tugas yang harus dilaksanakan atau dipikul sebagai pemimpin kepada bahagian, seolah-olah hanya sebagai simbol tetapi tidak menggerakkannya. Pemimpin terpaksa tercari-cari program yang perlu diisi oleh bahagian, dan sekiranya Pemimpin Bahagian mempunyai hubungan yang baik dengan menteri atau agensi, maka mudahlah peruntukan akan dapat disalurkan kepada UMNO Bahagian dalam mengisi program-program yang akan dilaksanakan. Sedarlah bahawa dalam politik, tidak ada perjuangan kendiri selain daripada untuk kita menguatkan parti dan rakyat serta penyokong untuk berdepan didalam pilihanraya yang akan datang. Namun apabila pemimpin bahagian tidak mempunyai talian hayat dengan mana-mana agensi atau kementerian, maka alamat keringlah program didalam bahagian dan ini boleh menyusahkan kepimpinan sayap-sayap yang terpaksa bergantung kepada UMNO bahagian didalam pengisisan program yang sepatutnya dilaksanakan.
Di dalam sistem yang dicadangkan, sekiranya 30 buah kementerian yang ada dalam negara termasuk kementerian Di Jabatan Perdana Menteri, menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000-00 kepada 191 buah bahagian diseluruh negara, maka setiap kementerian akan membelanjakan sejumlah RM1,910,000-00 sahaja untuk menampung program dibahagian yang akan mengadakan sejumlah 30 program setahun. Sekiranya 30 program setahun dapat diadakan di dalam UMNO Bahagian diseluruh negara, kita yakin dan percaya, kita akan dapat berjumpa dengan masyarakat tidak kurang 3 kali sebulan disamping program-program kecil yang lain. Dan ini melibatkan satu jumlah yang kecil sahaja disebalik peruntokan pulohan malah ratusan juta ringgit kepada kementerian pada setiap tahun budget kewangan negara. Ini semua perlu dimasukkan ke dalam sistem.
Makna, sekiranya seseorang pemimpin itu ingin menjadi ketua UMNO bahagian, dia haruslah bersedia untuk mengadakan program dan dan berperanan dalam tanggungjawab tersebut, dan dalam masa yang masa Menteri atau timbalan menteri akan dapat turun kesegenap bahagian diseluruh negara dan sekaligus merapatkan jurang antara menteri dan rakyat, disamping mengenali dengan lebih dekat permasalahan yang ada disegenap peringkat, walaupun tidak termasuk Bahagian-bahagian di Sarawak boleh dilaksanakan dengan peruntokan yang lain.
Sistem ini akan pertamanya memberikan kesedaran tentang pentingnya tugas dan tanggungjawab ketua bahagian, yang sudah tentu akan memperkuatkan akar umbi, dan keduanya Menteri dan Timbalan Menteri tak payah sibuk berkempen ke sana ke mari apabila tiba musim pemilihan, kerana ramai sudah mengenali mereka dengan lebih dekat melalui program-program yang dihadiri.
Sistem pemilihan bahagian hendaklah diuruskan terus ke negeri masing-masing termasuklah didalam persidangan cawangan, supaya tidak timbul lagi soal politiking yang kerap kali dikaitkan diperingkat bahagian apabila ada sesuatu pertembungan atau political clash diperingkat bahagian. Sistem diperingkat negeri hendaklah dipilih dikalangan bukan yang pernah memegang apa -apa jawatan dalam politik sama didalam bahagian dan hendaklah bebas daripada mana-mana pengaruh dalam yang boleh menyebabkan 2+2 jadi 6.
Sistem diperingkat pusat pastinya perlu ditekankan supaya mana-mana ahli yang membawa keluar berita tentang pemilihan didalam bahagian yang ditanda dengan KOD HITAM, kepada media eletronik ada media massa hendaklah digantung terus keahlian dari parti, dengan penyiasatan sekurangnya seminggu, dengan terbukti kesahihan dan peranan yang diberi kepada akhbar dan media untuk memudaratkan UMNO Bahagian. Dan berita tentang penggantungan ini semua tidak perlu dibawa kedada akhbar, dan hanya sistem yang menyampaikan, melalui warrant dan sebagainya.
Saya merasa sudah sampai masanya UMNO mempunyai sistem yang wajib dipatuhi oleh ahli-ahli disegenap peringkat. Jangan hanya yang menulis atau yang bercakap sahaja yang mahukan perubahan atau kadang kala yang menulis dan bercakap sahaja turut juga terlibat.
Saya diibaratkan seperti pembaca khutbah yang mengajak diri sendiri dan orang lain supaya sama-sama membuat perubahan. Sudah sampai masanya... ayuh "SISTEM UMNO" atau "UMNO PROTOKOL"
Jumpa Bab seterusnya.. UMNO -Perlu ada Sistem..BAB II
0 comments:
Post a Comment