Sunday, November 16, 2008

UMNO-Perlu ada Sistem Atau "UMNO PROTOKOL"


Apabila kita bercakap soal sistem, kita akan melihat bahawa sistem adalah merupakan suatu ketetapan mustahak yang merangkumi aspek dan susunan yang memungkinkan benda atau sesuatu yang berada di dalam sistem itu mengikut sepertimana yang termaktub dalam sistem yang diselaraskan atau yang digubalkan oleh pertubuhan atau superior.


Dalam perniagaan, kita perhatikan banyak syarikat multinasional yang berjaya diperingkat global adalah terdiri daripada syarikat yang mempunyai sistem samada dalam pentadbiran atau aspek pengurusan yang mana ketua kepada sistem tersebut kadangkala tidak perlu lagi melihat kepada perkara remeh-temeh pengurusan kerana ianya sudah termaktub dan hanya penyelarasan yang wajib diikuti oleh pekerja yang berada didalam sistem tersebut. Natijah disebalik pengingkaran kepada sistem akan menyebabkan organisasi menjadi lembab, Jualan akan susut, Imej akan tercemar, dan usaha kearah kecemerlangan akan terbantut. Ini adalah sistem.


Kita mengambil contoh Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald misalannya adalah merupakan sampel terbaik bagi menerangkan tentang prepentingnya sistem yang diamalkan didalam kedua-dua syarikat itu yang mana, sesiapa sahaja yang berada didalam konglomerat tersebut wajib mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan didalam sistem yang telah digubalkan. Dan sistem tersebut tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak dan sudah menjadi suatu perlembagaan kepada syarikat samaada sesiapa sahaja yang menerajui atau menjadi pemilik franchise kepadanya atau yang bekerja dengannya wajib melaksanakannya.


Ini terbukti apabila, ianya merangkumi daripada segenap segi, dari sekecil-kecil peranan tukang cuci, tukang masak, sehinggalah kepada cashier yang menguruskan kewangan, semuanya berada didalam sistem yang telah dibukukan.


Dalam UMNO, sejak daripada penubuhannya, pada 11hb Mei 1946, sememangnya UMNO mempunyai perlembagaan yang dipanggil perlembagaan parti-iaitu peraturan-peraturan sebagai ahli parti dan sebagai organisasi, dan walaupun kerapkali dibahas dan ditambahnilaikan, atau diperbaharui mengikut matlamat dan perjuangan semasa, namun UMNO masih lagi belum ada sistem yang wajib diikuti oleh sesiapa saja yang memimpin samada daripada sebesar-besar pemimpin diatas termasuk Presiden, Timbalan presiden dan Naib-Naib Presiden, Wanita Pemuda dan Puteri sehinggalah melibatkan kepimpinan dibawah termasuk bahagian dan ranting-ranting diperingkat cawangan.


Saya berani mengatakan demikian kerana, seringkali wujud double-standard atau dengan kata lain, keputusan dua muka yang kadangkala boleh menyebabkan UMNO wujud sebagai sebuah parti yang tidak mengamalkan keadilan dan ketelusan didalam pentadbiran. dan kadangkala terdengar "oleh kerana UMNO adalah Politik, maka kadangkala jawaban kepada persoalan hendaklah berbaur politik, ibaratkan 2+2 bukan 4 tetapi 6 atau 8 atau 10, atau apa sahaja yang memungkinkan jawaban mengikut selera dan sentimen" kata sesetengah daripada penganalis politik yang saya dengari.


Pada hemat saya, keputusan daripada politik adalah berbentuk politik sekiranya ianya melibatkan parti lawan atau dalam berhujah dengan parti pembangkang dalam pembentukan fakta untuk menentang dan sebagainya, tetapi sekiranya ianya melibatkan masalah dalaman, saya yakin dan percaya UMNO menyimpang jauh daripada apa yang sepatutnya ada dari Sistem.


Kita melihat pada hari ini, UMNO sebagai sebuah parti dominan dalam kerajaan yang ditunjangi BN sejak sebelum Merdeka, seringkali dilabel sebagai parti yang mengamalkan politik wang, didada akhbar dan media eletronik, seringkali menggambarkan kerakusan pemimpin dalam mana kita berdepan dengan pemilihan parti di setiap 4 tahun sekali. Ini semua adalah kerana, kita tidak mempunyai sistem dalam pemilihan.


Dada-dada akhbar yang memaparkan kepincangan politik wang, dan media eletronik juga memainkan peranan yang berterusan kerana kita tidak mempunyai sistem yang mengawal media daripada meneruskan agenda memburok-burokkan parti kerajaan, sedangkan kita adalah kerajaan. Sesuatu topik tidak akan terus diperbincangkan atau diperdebatkan sekiranya kita dapat mengawal tajuk hangat tersebut daripada merebak, ini berlaku secara terus menerus kerana UMNO tidak berusaha untuk mempelopori sistem dalam kawalan kepada media.Ini tidak berlaku sama sekali di Singapura misalannya sejak daripada zaman, Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong sehinggalah kepada zaman Lee Hsieng Loong yang ada pada hari ini. Ini bukanlah bermakna Rakyat Singapura tidak berhadapan dengan isu besar, tetapi kerajaanlah yang mempunyai peranan dan sistem untuk mengawal isu, dan ianya wajib diikuti oleh agensi dan syarikat berkepentingan Kerajaan (GLC) apatah lagi yang melibatkan isu parti yang menguasai kerajaan. Ini boleh dilihat didalam tontonan VCD "the success story of Singapore by Lee Kuan Yew".


Dalam pemilihan UMNO misalannya, sepertimana apa yang telah berlaku di Seremban , didalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian tersebut baru-baru ini, UMNO tidak mempunyai suatu sistem yang boleh digunapakai dan diseragamkan untuk mengelak perkara tersebut daripada berlaku. Ini boleh dijadikan contoh apabila UMNO kubang kerian, yang juga salah satu daripada bahagian-bahagian panas dalam negara, yang kalau difokuskan boleh diletakkan pada tahap "Kod Hitam" berjaya mengadakan mesyuarat kerana mempunyai sistem awal yang direka khusus oleh pimpinan bahagian, dimana para perwakilan sahaja yang benarkan masuk kedewan dengan menapis kehadiran dipintu pagar masuk disamping pemerhati yang dibenarkan oleh Ketua cawangan sahaja yang boleh berada didewan semasa perasmian dan mereka, mengikut sistem, hendaklah keluar dari dewan apabila mesyuarat hendak dimulakan. Ini adalah contoh sistem yang berupaya untuk menyekat daripada berlaku keributan didalam dewan yang boleh mengaruhkan pergaduhan dan sebagainya. Kebiasaannya, pergaduhan tercetus adalah kerana pengaruh orang luar yang tidak menjadi perwakilan di dalam dewan, yang menyebabkan wujudnya suasana panas yang memungkinkan bertindak diluar perbatasan peraturan parti.


Di dalam Pentadbiran sebagai pemimpin parti juga, UMNO harus mewujudkan sistem yang wajib dilaksanakan di dalam tadbir urus sebagai pemimpin kepada bahagian. Kod sistem ini hendaklah digubal supaya sesiapa yang ingin memimpin UMNO bahagian sehinggalah kepada pemimpin sayap wajib mengikut sistem yang perlu dilaksanakan. Sebagai contoh, hari ini kita melihat ramai pemimpin-pemimpin berlumba-lumba ingin memegang jawatan dalam parti tetapi tidak mendalami sepenuhnya apakah tugas-tugas yang harus dilaksanakan atau dipikul sebagai pemimpin kepada bahagian, seolah-olah hanya sebagai simbol tetapi tidak menggerakkannya. Pemimpin terpaksa tercari-cari program yang perlu diisi oleh bahagian, dan sekiranya Pemimpin Bahagian mempunyai hubungan yang baik dengan menteri atau agensi, maka mudahlah peruntukan akan dapat disalurkan kepada UMNO Bahagian dalam mengisi program-program yang akan dilaksanakan. Sedarlah bahawa dalam politik, tidak ada perjuangan kendiri selain daripada untuk kita menguatkan parti dan rakyat serta penyokong untuk berdepan didalam pilihanraya yang akan datang. Namun apabila pemimpin bahagian tidak mempunyai talian hayat dengan mana-mana agensi atau kementerian, maka alamat keringlah program didalam bahagian dan ini boleh menyusahkan kepimpinan sayap-sayap yang terpaksa bergantung kepada UMNO bahagian didalam pengisisan program yang sepatutnya dilaksanakan.


Di dalam sistem yang dicadangkan, sekiranya 30 buah kementerian yang ada dalam negara termasuk kementerian Di Jabatan Perdana Menteri, menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000-00 kepada 191 buah bahagian diseluruh negara, maka setiap kementerian akan membelanjakan sejumlah RM1,910,000-00 sahaja untuk menampung program dibahagian yang akan mengadakan sejumlah 30 program setahun. Sekiranya 30 program setahun dapat diadakan di dalam UMNO Bahagian diseluruh negara, kita yakin dan percaya, kita akan dapat berjumpa dengan masyarakat tidak kurang 3 kali sebulan disamping program-program kecil yang lain. Dan ini melibatkan satu jumlah yang kecil sahaja disebalik peruntokan pulohan malah ratusan juta ringgit kepada kementerian pada setiap tahun budget kewangan negara. Ini semua perlu dimasukkan ke dalam sistem.

Makna, sekiranya seseorang pemimpin itu ingin menjadi ketua UMNO bahagian, dia haruslah bersedia untuk mengadakan program dan dan berperanan dalam tanggungjawab tersebut, dan dalam masa yang masa Menteri atau timbalan menteri akan dapat turun kesegenap bahagian diseluruh negara dan sekaligus merapatkan jurang antara menteri dan rakyat, disamping mengenali dengan lebih dekat permasalahan yang ada disegenap peringkat, walaupun tidak termasuk Bahagian-bahagian di Sarawak boleh dilaksanakan dengan peruntokan yang lain.

Sistem ini akan pertamanya memberikan kesedaran tentang pentingnya tugas dan tanggungjawab ketua bahagian, yang sudah tentu akan memperkuatkan akar umbi, dan keduanya Menteri dan Timbalan Menteri tak payah sibuk berkempen ke sana ke mari apabila tiba musim pemilihan, kerana ramai sudah mengenali mereka dengan lebih dekat melalui program-program yang dihadiri.

Sistem pemilihan bahagian hendaklah diuruskan terus ke negeri masing-masing termasuklah didalam persidangan cawangan, supaya tidak timbul lagi soal politiking yang kerap kali dikaitkan diperingkat bahagian apabila ada sesuatu pertembungan atau political clash diperingkat bahagian. Sistem diperingkat negeri hendaklah dipilih dikalangan bukan yang pernah memegang apa -apa jawatan dalam politik sama didalam bahagian dan hendaklah bebas daripada mana-mana pengaruh dalam yang boleh menyebabkan 2+2 jadi 6.

Sistem diperingkat pusat pastinya perlu ditekankan supaya mana-mana ahli yang membawa keluar berita tentang pemilihan didalam bahagian yang ditanda dengan KOD HITAM, kepada media eletronik ada media massa hendaklah digantung terus keahlian dari parti, dengan penyiasatan sekurangnya seminggu, dengan terbukti kesahihan dan peranan yang diberi kepada akhbar dan media untuk memudaratkan UMNO Bahagian. Dan berita tentang penggantungan ini semua tidak perlu dibawa kedada akhbar, dan hanya sistem yang menyampaikan, melalui warrant dan sebagainya.

Saya merasa sudah sampai masanya UMNO mempunyai sistem yang wajib dipatuhi oleh ahli-ahli disegenap peringkat. Jangan hanya yang menulis atau yang bercakap sahaja yang mahukan perubahan atau kadang kala yang menulis dan bercakap sahaja turut juga terlibat.

Saya diibaratkan seperti pembaca khutbah yang mengajak diri sendiri dan orang lain supaya sama-sama membuat perubahan. Sudah sampai masanya... ayuh "SISTEM UMNO" atau "UMNO PROTOKOL"

Jumpa Bab seterusnya.. UMNO -Perlu ada Sistem..BAB II




Sunday, November 9, 2008

Amerika & Malaysia Jauh Bezanya



Saya amat tertarik dengan kemenangan Calon Demokrat Barrack Obama yang telah diisyhtiharkan menang sebagai Presiden Amerika yang ke 44 seminggu yang lalu didalam persaingan sengit jawatan Presiden dalam kempen sejak 2004 lagi, sebenarnya saya banyak mengikuti perkembangan yang berlaku di Amerika semenjak kebelakangan ini hanya disebabkan oleh Obama, samatelah lagi membeli buku-buku karya beliau seperti "audicity of hope" dan "dream from my father".


Ini bukanlah bermakna saya menyokong Amerika atau dasar-dasarnya yang ternyata dibawah kepimpinan George W. Bush yang banyak menekan negara-negara islam seperti Iraq, Iran dan Afghanistan, tetapi saya amat tertarik dengan karektor dan personaliti beliau serta kesungguhan yang telah beliau tunjukkan sebagai Calon Demokrat yang termuda berusia 47 tahun selain daripada Presiden John F. Kennedy Jr. didalam persaingan yang begitu hebat yang telah dihadapi beliau yang memungkinkan beliau berada ditempatnya sekarang disamping visi dan misi untuk menyelamatkan Amerika daripada keruntuhan ekonomi yang berterusan sepertimana yang melanda negara itu pada hari ini.


Ternyata Obama mencipta sejarah yang tersendiri dengan menjadi pemimpin kulit hitam yang pertama dalam sejarah selama 232 tahun kewujudan Amerika Syarikat itu sendiri selepas seorang tokoh kulit hitam juga iaitu Martin Lurther King Jr. yang tersohor dengan ucapan beliau pada 28 ogos 1963 "i have a dream'' di Washington D.C. yang ternyata memberikan semangat kepada beribu-ribu orang sepertimana obama tentang kesedaran untuk tidak menidakkan hak-hak orang kulit hitam di Amerika Syarikat seperti mana yang diperjuangkannya. Kini setelah lebih 40 tahun, ternyata cita-cita Martin Lurther King Jr. telah tercapai.


Apabila mimpi ini ternyata terjadi disebalik perjuangan yang sekian lamanya, terdengar suara sinis dalam negara kita Malaysia tentang kesedaran yang sama untuk melihat bangsa lain berada ditampuk pemerintahan dalam negara. Ini adalah merupakan satu sindrom perbandingan yang amat bahaya bagi sesebuah negara seperti Malaysia yang ternyata hak-hak kesamarataan tersebut tidak termaktub didalam perlembagaan yang disokong oleh semua parti politik komponen yang memerintah negara melalui BN (dahulunya Perikatan) yang termaktub juga dalam konteks kontrak sosial yang tidak boleh dipertikaikan walaupun didalam perlembagaan tidak menyebut bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah semestinya dari Kaum Melayu dan Islam.


Dari segi persefahaman yang telah dibina ternyata UMNO sebagai sebuah parti dominan dalam negara seharusnyalah memegang teraju kepimpinan negara dengan secara "verbal kontrak" yang perlu diterima hakikatnya oleh mana-mana penduduk dalam negara ini tidak kira apa agama dan bangsa mereka.


Sebenarnya Amerika menerima baik bangsa kulit hitam selepas 232 tahun amalan demokrasi dijalankan disebalik bangsa mereka yang telah dijadikan sebagai bangsa hamba abdi yang ditentang bersungguh-sungguh oleh Presiden Abraham Lincoln pada tahun 1861-1865 sebagai presiden ke 13 negara tersebut sehingga wujudnya perang saudara di Amerika. Sebenarnya juga presiden Amerika sebelum daripada ini adalah terdiri daripada ahli birokrat dan bangsawan dari kaum dominan Anglo Saxon dan kristian-protestan yang ternyata tidak membuka ruang langsung kepada mana-mana golongan lebih-lebih lagi kepada bangsa hamba abdi yang ternyata telah mencipta sejarahnya yang tersendiri selepas kehidupan mereka sudah menjadi sudah menjadi senada dan seirama, kehidupan orang kulit hitam dan putih mereka sudah melangkau perjuangan perkara asas seperti ekonomi dan sosial disebalik pencapaian orang kulit hitam di Amerika yang sudah jauh kedepan seperti didalam bidang ekonomi, sukan, sosial dan pentadbiran negara.


Negara kita hanya baru 51 tahun merdeka, dan ternyata kalau dibuat perbandingan antara Amerika dan Malaysia kita jauh berbeza, terutama daripada sudut ekonomi dan sosial yang sudah tentu menuntut supaya UMNO dan kerajaan yang ada pada hari ini berusaha lebih keras lagi terutama dalam membela nasib bangsa melayu yang masih jauh ketinggalan dari banyak lapangan dan bidang.


Dalam negara kita, minoriti hanya boleh bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selepas etnik Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Iban dan lain-lain mula berfikir dan mengamal nilai melayu sepertimana Obama dan orang kulit hitam yang lain di Amerika mula berfikir dan hidup seperti Anglo saxon dan kristian-protestan.


Kalau tidak tak payah lah bermimpi,..or Hoping to dream""

Saturday, November 1, 2008

Ucapan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian-Pemimpin Wajib Menjaga Parti


Alhamdulliillah, pertama-tamanya saya memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah.swt, dan salawat dan salam keatas junjungan besar nabi kita muhammmad rasulllullah s.a.w. yang membawa syiar islam dan rahmat kemuka bumi ini. Saya juga ingin mengucapkan jutaaan terima kasih atas kesempatan masa Ketua umno bhg atas kehadiran utk merasmikan mesy perw pemuda & puteri UMNO bahagian pada kali ini yang ke 18 ini.

Tuan-tuan, puan-puan, sdr sdri sidang perwakilan yang dirahmati Allah sekelian,
Pada tahun ini genaplah usia parti kita selama 62 tahun, dalam usia emas ini kita bersyukur kerana parti kita masih lagi relevan kepada generasi yang ada pada hari ini, sebenarnya relevan atau tidak relevannya UMNO bergantung kepada minat dan kesungguhan kita untuk menunjangi parti keramat yang mulia ini. Sedar tidak sedar , kita telah meninggalkan pilihanraya yang lalu sudah hampir 7 bulan, kita sedar bahawa dalam pilihanraya lalu kita telah menerima tamparan hebat daripada Pakatan Rakyat yang dibelakangi oleh Pas. Dap dan PKR.

Walaupun Barisan Nasional menang dengan majority mudah, walaupun dengan tidak 2/3 majoriti di dewan rakyat kita, apa yang menjadi kehairanan kita ialah apabila kita sendiri merasakan seolah-olah kita telah kalah dalam pilihanraya yang lalu dan terikut –ikut dengan rentak dan sentiment yang dimainkan oleh parti pembangkang. Memang benar kita telah kalah di 5 buah negeri termasuk negeri kita kelantan, yang tidak mampu ditawan kembali sejak 18 tahun yang lalu, namun darisegi keseluruhannya, kita masih lagi menang untuk mentadbir Negara. Dan Negara ini Negara Barisan Nasional.

Sebab itulah apabila ada usaha-usaha parti pembangkang untuk mengambil alih Negara ini melalui cara yang tidak demokratik, melalui saluran cubaan merasuah ahli parlimen dari sabah dan ahli-hali parlimen yang lain dan melalui pintu belakang, maka pemuda dan puteri kubang kerian pada hari ini menyatakan pendirian kita, bahawa kita cukup mengeji dan menghina usaha anwar ibrahim ini, dan memandang kpd usaha ini sebagai usaha mereka yang politiknya sudah hamprak dan corrupt dan tidak mengikut asas demokrasi yang sebetulnya sebagaimana yang diamalkan sejak sekian lama.

Dalam kesibukan kita mentadbir Negara kita yang sudah 51 tahun merdeka ini, dimana kita beranggapan bahawa kita juga matang dalam menguruskan Negara melalui UMNO yang ternyata banyak berjasa kepada agama dan Negara , sejak sekian lama , tetapi kita hairan sejak akhir-akhir ini seolah-olah kita sedar tidak sedar, parti UMNO yang menunjangi kerajaan semakin hari tidak menguasai kerajaan., Kita hairan bagaimana peruntokan untuk pembangunan dalam kawasan parlimen UMNO atau yang kalah dalam pilihanraya yang lalu ,terasa dipinggirkan langsung dari arus pembangunan kawasan, walhal kita juga mempunyai penyokong-penyokong tersendiri yang perlu dipantau atau diberi pembelaan disebalik kekalahan calon UMNO yang bertanding dalam pilihanraya yang lalu, kita juga hairan bagaimana JPPK, seolah-olah takut untuk memberikan peruntokan kpd majlis –majlis UMNO didalam bahagian, sedangkan wujudnya JPPK adalah untuk memberikan saluran yang datangnya daripada kerajaan persekutuan. Kita juga merasa gusar dan gundah gulana apabila kita melihat ramai dikalangan Menteri, Timbalan Menteri dan SU parlimen, dari kalangan pemimpin UMNO yang wujudnya mereka itu kerena sokongan kita yang tidak berbelah bahagi diperingkat akar umbi, yang ternyata tidak bersungguh-sungguh atau tidak secara ghairah membantu pemimpin UMNO dibahagian-bahagian didalam apa saja bantuan yang boleh mengangkat martabat ahli umno diperingkat bahagian, sama ada dari segi sudut agama, social dan ekonomi. Apabila adanya musim pemilihan seperti ini, barulah kita sedar bahawa Menteri dan Timbalan Menteri atau Setiausuaha parliament itu datangnya dari parti UMNO setelah mereka turun kebawah mencari cari pemimpin-pemimpin bahagian semata-mata untuk mencari pencalonan atau undi bagi mengekalkan kedudukan mereka.,
Maka pemuda dan puteri hari ini menggesa supaya kita semua hendaklah membuat penilaian semula kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang seperti ini supaya dibelakang hari mereka semua kenal akan pimpinan umno bahagian yang telah mengangkat naik mereka ditempat yang mereka ada pada ketika ini.



Tuan,puan sdr sdri sidang perwakilan yang hormati sekelian.

Dalam keghairahan kita menawarkan diri untuk berada dikerusi pemimpin, tak kira sama ada diperingkat bahagian atau Nasional, kita semua harus sedar dan insaf bahawa parti kita hari ini berdepan dengan banyak dugaan dan cabaran samaada dari dalam parti sendiri, dikalangan parti komponen barisan nasional atau dari luar parti iaitu pembangkang yang sentiasa mencari helah dan tipu daya untuk menjatuhkan kita disetiap penjuru. Maka janganlah kita semasa disaat parti memerlukan kedudukan yang utuh dengan perpaduan yang tinggi, ada dikalangan kita yang sanggup menjatuhkan maruah parti dengan menghentam dan menghemburkan kata nista dan mengaruhkan semangat yang boleh menjatuhkah maruah sesama seagama, kita merayu kepada golongan seperti ini sekiranya ada dalam kalangan kita supaya bertafakur dan bermuhasabah diri, disamping bertaubat kepada Allah s.w.t dengan keinsafan yang sedalam-dalamnya. “let us preserve what should be preserved, let us protect what should be protected” dengan izin, apa yang perlu kita pertahan, kita pertahankan, apa yang perlu kita lindungi, kita patutnya lindungi’ demi maruah dan parti kita, supaya tidak menjadi sesuatu yang ibaratkan, seperti menepuk air didulang, sehingga terpercik kemuka sendiri, dan ibaratkan membuka pekung didada sendiri, yang akhirnya masyarakat diluar parti maupun pembangkang akan melihat polemic dan pergolakan yang tidak sudah dalam umno, yang kalau dibiarkan akan menjadi barah yang bernanah yang boleh menghancurkan umno pada bila-bila masa.

Dikalangan kita, harus ada perasaan hormat-menghormati, kasih mengasihani, dan janganlah demi cita-cita untuk menjadi pemimpin kita berkelahi sesame sendiri, yang akhirnya parti kita akan tergadai.
Sudah sampai masanya , kita semua bersatu hati, saya selaku ketua pemuda bahagian dan sebagai wakil jurucakap bagi puteri juga pada pagi yang berbahagia ini berjanji untuk mempastikan agar selepas daripada ini, agar pemuda dan puteri kubang kerian akan kembali bersatu dan utuh demi politik dan kesinambungan perjuangan orang-orang terdahulu yang akan memacu kearah kesejahteraan dalam pilihanraya yang akan datang,.Biarlah minority akan kembali bersama-sama dengan majority agar wadah dan agenda untuk parti akan dapat dilaksanakan dan tidak merugikan cawangan-cawangan, diatas politik sempit pemikiran dan kejumudan.

Tuan-tuan, sdr-sdri sidang perwakilan sekelian.

Didalam kesempatan ini juga Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada cawangan-cawangan yang telah mengadakan mesyuarat dengan mengikut peraturan parti dan dengan jayanya, Saya percaya dengan kepimpinan barisan pemuda dan puteri yang akan diangkat bersama dalam pemilihan pada kali ini, insyaAllah akan terus menerus memberikan nafas baru kepada kita semua, dalam melayari bahtera sebagai sayap kepada umno bahagian kubang kerian, saya percaya kita semua akan bersatu hati dengan keazaman yang tinggi, dengan maudud dan jihad yang satu, perjuangan yang jujor dan ikhlas, ikatan kasih yang berpanjangan sudah pasti akan memberikan nafas yang baru kepada umno bahagian kubang kerian.. Percayalah yang kita semua adalah sebagai khalifah Allah. Yang wajib berperanan untuk melihat UMNO Malaysia berada ditempat yang tinggi dihati rakyat, sebaris dengan cita-cita murni untuk mempertahankan agama, bangsa, bahasa dan tanahair. Sekian wassalam ...
Selamat bersidang…


Wednesday, October 29, 2008

Debat Terbuka - Pemuda Kubang Kerian Sokong

Apabila menyentuh tentang Debat Terbuka yang ada dipersetujui oleh Sdr Khairy Jamaludin baru-baru ini kepada calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding di kepimpinan tertinggi UMNO pusat, maka ramailah yang memberi komen samaada setuju atau tidak ianya hanya bergantung kepada keihklasan untuk memberikan pandangan apabila berada didalam platfom debat dan perbahasan tersebut.
Pada Hemat saya debat terbuka ini perlu memandangkan sekarang ini kita melihat begitu ramai sekali pemimpin-pemimpin yang mula seolah-olah rakus inginkan jawatan tetapi tidak mempunyai visi dan misi yang benar-benar berkualiti dan jelas untuk mengangkat martabat dan perjuangan UMNO, selari dengan kehendak zaman dan keadaan.
Sudah pasti debat ini bukanlah medan untuk mengutuk sesama sendiri, tetapi sebagai medan untuk menyuarakan hasrat perjuangan masing-masing didalam parti keramat UMNO yang tercinta ini.
Saya kira sudah sampai masanya kita memandang kedepan, bukanlah kita hendak meniru secara total Debat Presiden Amerika Syarikat, yang ternyata dijalankan dengan penuh profesional walau adakalanya penuh sinis dan menghentam peribadi.
Tetapi kita merasakan dengan kedudukan negara dan senario politik sejak akhir-akhir ini yang mula berubah bukan sahaja kita sebagai pemimpin UMNO secara strategiknya tetapi kita juga sebagai pemimpin rakyat yang berbilang kaum yang memerlukan satu tuntutan yang betul-betul mampu mentadbir dengan meniti jarum-jarum tajam yang sentiasa menanti sengketa, dan sudah tentu kita perlu mencari pemimpin yang benar-benar bijak, jujor, ikhlas, bekerja kearah kesejahteraan Parti Melayu dan BN, dan mesti tegas dalam segenap perkara, tidak bertolak ansur kepada kedudukan Melayu, Agama Islam, Bahasa dan Perlembagaan termasuklah kontrak sosial.
Inilah ciri-ciri pemimpin yang kita mahukan, maka perdebatkanlah, agar kita semua tahu isi hati perjuangan masing-masing....

Saturday, October 25, 2008

Anwar Ibrahim-Sudah Kehabisan Modal


Semalam saya terbaca dalam sinar harian berkaitan dengan kenyataan yang dibuat oleh Defacto Leader PKR Anwar Ibrahim berkenaan dengan pengambilalihan Kuasa Negara yang mana beliau sekarang ini sedang giat memberikan sepenuh tumpuan pada kedudukan ekonomi negara yang pada pandangan beliau, negara dalam kedudukan amat tenat untuk berdepan dengan krisis kewangan global, dengan tidak mempunyai persedian rapi untuk menghadapinya.

Dalam masa yang sama beliau bertindak untuk menyampaikan hujah dalam Dewan Parlimen dengan Laporan Budget PKR setebal 20 muka surat, yang pada pengamatan saya tidaklah ada bezanya dengan Laporan Budget Kerajaan Barisan Nasional. Kononnya beliau sekarang ini tidak memberi penumpuan penuh kepada pengambilan kerajaan disebabkan oleh kedudukan ekonomi tersebut.

Pada hemat saya, dan kebetulan saya ada menerima panggilan talifon dari sinar harian Edisi Timur menanyakan pandangan saya tentang perkara berikut dan ini komen yang saya berikan.

"saya melihat bahawa kedudukan Anwar Ibrahim dalam kedudukan negara sekarang amatlah tidak relevan disebalik kedudukan Ekonomi Negara yang pada dasarnya adalah kukoh berbanding dengan lain-lain negara dirantau ini, kita mempunyai reserve bank negara yang mantap disamping banyak dana dalaman negara yang boleh membantu untuk menyelamatkan negara sekiranya berkemungkinan keadaan Ekonomi Global yang tidak menentu ini melanda negara"

"Pada dasarnya, Anwar Ibrahim sudah tidak lagi mempunyai kekuatan untuk menarik mana-mana ahli parlimen Kerajaan untuk menyertainya, dan setelah bermacam-macam usaha dan propaganda dibuat, akhirnya beliau sedar yang kita mempunyai Ahli Parlimen yang betul-betul setia dan cintakan BN sesuai dengan amanah rakyat yang telah diberikan didalam Pilihanraya yang lalu, apabila ini berlaku, beliau cuba mengalihkan pandangan dan persepsi rakyat terhadap kedudukan negara dalam menghadapi krisis ekonomi."

" saya percaya bahawa, dengan adanya transformasi terpimpin pemilihan UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini dan hingga Mac 2009, kita akan dan sudah pasti mempersiapsiagakan kedudukan dan harapan rakyat untuk kembali memerintah negeri-negeri yang akan ditawan semula didalam pilihanraya yang akan datang, dengan Kepimpinan Baru yang lebih mantap dan tersusun."

"kita semua optimistic dan tidak lagi mahu melihat adanya pemimpin rakus seperti Anwar Ibrahim berada lagi dalam Parlimen, yang ternyata banyak menyusah dan membebankan rakyat dengan pandangan retorik dan mengikut hawa nafsu"

"Saya yakin dan benar-benar percaya, kerajaan yang ada pada hari ini tidak akan ditukar dengan cara yang tidak Demokratik, dan sekaligus mengenepikan andaian bahawa ianya akan bermula selepas Anwar Ibrahim berada dalam Parlimen"

"Kerajaan yang ada pada hari ini, akan bertambah kuat dan kukoh selari dengan majoriti dan mandat yang telah diberikan rakyat, dan tak usahlah Anwar Ibrahim bermimpi"

Sedarlah kita semua, marilah mulakan langkah perobahan...

Monday, October 20, 2008

Masjid dan Surau- Berilah Peruntukan Selenggara Tandas


Saya sebenarnya sudah lama ingin membicarakan soal tandas di surau dan masjid diseluruh negara yang semakin hari semakin merosot dari segi selenggaraan. Kita berasa malu apabila melihat institusi agama yang paling asas disurau dan masjid tidak diselenggarakan dengan sempurna. Ada pernah berlaku cerita dimana ada seorang Pemangku Ketua UMNO Bahagian diketika itu di Kelantan pernah menghadirkan diri dalam satu program disekitar masjid tersebut, namun apakan daya tiba-tiba perut beliau sakit dan memulas teramat sangat, dan terus meluru ke tandas masjid, alangkah malangnya setelah selesai membuang hajat, didapati air terputus, dan terpaksalah beliau memanggil orang diluar untuk menyampaikan air padanya. Mungkin ada hikmat disebaliknya apabila selepas itu beliau dengan serta merta memutuskan memberi kelulusan bantuan segera RM5,000-00 untuk membina semula sistem air yang tersumbat kerana karat dan tekanan rendah. Ini adalah merupakan contoh yang biasa kita dengar selain daripada kita juga terasa takut untuk membuang hajat kecil dimasjid apatah lagi hajat besar.
Maka selepas negara kita yang merdeka selama 61 tahun, dan bertunjangkan kepada paksi UMNO sebagai sebuah parti orang islam yang memerintah, tetapi banyak kita halakan isu-isu yang tidak berkepentingan rakyat secara mendalam, selain daripada tugas kerajaan negeri yang wajib memikul tanggungjawab ini dengan cara yang berkesan, dengan amanah yang diberi untuk mentadbir negeri.
Kita juga perhatikan apabila ada juga disesetengah pasar raya dan kompleks membeli belah dibandar-bandar besar seperti dikuala lumpur misalnya, kita dapati tandas ditempat-tempat tersebut adalah lebih bersih daripada surau-surau yang disediakan. Keadaan ini memberikan gambaran terbalik (upside down) tentang kedudukan islam yang sebenarnya didalam negara kita apabila berdepan dengan masalah kebersihan ditempat-tempat ibadah yang seolah-olah dipandang remeh oleh Badan Kerajaan Tempatan yang mengurus disebalik tekanan yang harus diberikan kepada pusat yang menguruskannya.
Perkara ini perlu diberikan penekanan yang sebaik-baiknya oleh Kerajaan, dan jikalau sekiranya ini tidak diberikan tanggungjawab sepenuhnya, percayalah suatu hari nanti tidak hairanlah kita hanya ada pada nama, islam hanya ada diatas kertas.tidak melalui perlaksanaan.Allah hu Akhbar, Nauuzubillah..

MCA jangan Melampau...ini bukan Amerika.Ini Semenanjung Tanah Melayu

Saya mula rasa loya dan nak muntah apabila pada persidangan MCA ke 55 tahun ini, ada seorang perwakilan daripada bahagian Puchong, Kow Cheong Wei, mencadangkan supaya rakyat diberi hak dan kebebasan untuk memilih secara terus Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Apa mereka ingat ini negara Amerika kah, yang boleh memilih secara terus Presiden dan Timbalan Presiden. Mereka kena ingat yang ini adalah negara tanah Melayu, dan orang melayu berhak untuk memilih siapa yang akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri walaupun tidak termaktub dalam perlembagaan. Ini adalah formula sejahtera dahulu yang dipakai sejak zaman berzaman bersama-sama dengan kontrak sosial yang telah dipersetujui secara bersama dalam parti perikatan, seperti mana Agama Islam yang termaktub sebagai agama resmi negara dan sekaligus kita bebas untuk membangunkan islam dan menggunakan dana kerajaan walaupun tidak ditulis dalam perlembagaan.
Oleh yang demikian, MCA tidak berhak untuk mencadangkan apa-apa yang boleh merosakkan perpaduan yang dibina selama ini dengan bertindak untuk memanipulasi kelemahan UMNO dan politik berpanjangan UMNO diketika ini dengan mendesak bermacam-macam perkara yang dahulunya dianggap tidak mempunyai keberanian yang tinggi untuk mencadangkannya.
Kita harus ingat yang semangat toleransi ini berpada-padanya. Kalau sekiranya segala persefahaman yang diikat selama ini mula dirungkai satu persatu saya percaya satu hari nanti semangat BN yang dibina akan hancur ditengah jalan. Cubalah fikir dan renung-renungkanlah sebelum membuat sesuatu cadangan, yang nampak elok tetapi berpihak kepada sebelah saja.
Kita kena tegaskan yang negara ini, memerlukan seorang Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Melayu dan Islam.. jangan mula robekkan lagi...faham..

Saturday, October 18, 2008

Peringatan Raja-Raja Melayu Wajib DiAmbil Iktibar..


BERIKUT adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas Majlis Raja-Raja yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah semalam.]

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

"Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”-- Bernama

Jangan Sesekali Jadi Rakyat Zaman Inggeris & Jepun



Dua malam yang lalu, saya sempat singgah disatu kedai kopi di Pasir Tumbuh, dalam kawasan saya, kebetulan ada mesyuarat pemuda bahagian membincangkan tentang perkara-perkara yang berkait rapat dengan mesyuarat perwakilan bahagian.Kebetulan kedai kopi tersebut berada didepan Pejabat UMNO Bahagian.Tetapi bukan itu yang nak dibincangkan.


Saya amat tertarik dengan satu kenyataan yang dibuat oleh seorang tua(lama) yang sambil menghirup kopinya bertanya khabar tentang kedudukan orang melayu selepas Paklah turun pada bulan Mac 2009 nanti. Katanya dia cukup bimbang kalau sekiranya apa yang akan berlaku nanti seperti pengalaman dizaman jepun. Apabila Inggeris menjajah negara 1895-1941, masa itu orang melayu hidup dalam keadaan yang cukup perit, terpaksa hidup dengan keadaan yang cukup terhimpit, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, soal pentadbiran yang tidak langsung memberi kesempatan kepada orang melayu, dan terus menerus menjadi hamba.


Maka, setiap malam jumaat, semua orang dikerahkan untuk bersembahyang hajat agar Allah membantu rakyat dan negara dan supaya Inggeris keluar dari negeri ini, dan kebetulan kedengaran pada waktu itu, Jepun sedang berusaha untuk menakluk negara-negara asia, maka berdoalah orang kampung semua supaya Jepun datang dan menghalau Inggeris keluar. Maka dimakbulkan Allah s.w.t , Jepun masuk ke negara kita melalui kota bharu, pada malam 8hb Disember 1941.


Tetapi malangnya, apabila jepun masuk ke Malaya yang menandakan bermulanya juga era perang dunia kedua sehari selepas penyerangan di Pearl Harbour Hawaii, orang melayu mula sedar bahawa pemerintahan jepun adalah lebih dasyat daripada apa yang ditinggalkan oleh Inggeris, dengan terpaksa meneruskan hidup dengan memakan ubi kayu, maka berdoalah dan bersembahyang hajat pulalah orang kampung bermunajat bermohon supaya Allah s.w.t memberikan jalan supaya Jepun keluar daripada bumi Malaya, dan memohon supaya Inggeris kembali. Dimakbulkan Allah, selepas 9hb Ogos 1945, Jepun menyerah kalah selepas pengeboman Nagasaki dan Hiroshima, maka kembalilah semula Inggeris meneruskan pemerintahan Malaya, tapi kali ini dengan agak berbeda tetapi meneruskan dasar-dasar lama termasuklah penubuhan Malayan UNION yang ditentang hebat oleh UMNO dan seterusnya menjurus kepada lahirnya kemerdekaan.


Apa yang paling penting tentang kesedaran itu ialah, jangan mudah lupa akan sejarah, dan jangan jadi seperti rakyat zaman inggeris dan jepun, renung-renungkanlah...


Wednesday, October 15, 2008

HINDRAF-Lama Dah Sepatutnya di Haramkan


Saya begitu tertarik dengan apa yang telah diputuskan oleh Kementerian Dalam Negeri berkenaan dengan pengharaman keatas Pertubuhan HINDRAF (HINDU RIGHTS ACTION FORCE) yang ternyata sepatutnya lama dah dilaksanakan. Tetapi malangnya oleh kerana terlalu berlembut dengan mereka ini, akhirnya mereka semua menjejakkan kaki diatas kepala kita semua barulah kita hendak mengambil tindakan yang sewajarnya, diibaratkan seperti nasi sudah menjadi bubur.

Saya menyeru kerajaan supaya memantau selicik-liciknya segala pertubuhan yang sejak akhir-akhir ini membuka ruang untuk mengaruhkan keadaan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan sekaligus boleh menyebabkan rakyat menjadi taruhannya lebih-lebih dasar yang tidak menghormati langsung akan pemimpin negara yang didiami.

Kita tidak rela sama sekali, rakyat diperjudikan nasib mereka dengan golongan seperti ini yang sama sekali tidak boleh diterima didalam keadaan kita sedang terhimpit dengan masalah ekonomi global dan serantau yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dan menjejaskan perpaduan yang dibina selama ini.

Biarlah kita hancurkan segelintir untuk menyelamatkan jutaan manusia yang inginkan keamanan dah ketenteraman awam.

tahniah KDN, tahniah Dato Seri Syed Hamid...

Selamat Datang Ke Blog Malayquest

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pelawat yang melawat laman blog ini, laman blog ini bertujuan untuk berkongsi pandangan dan citarasa masa kini tentang kedudukan orang melayu dan islam dalam negara kita. Sekiranya tuan puan serta saudara saudari mempunyai komen atau apa-apa bersangkutan tentang isu yang dikeutarakan silalah bersama-sama untuk membantu meningkatkan lagi dengan keihklasan untuk membawa orang melayu dan islam dalam negara kita ke tahap yang tertinggi dan sebenarnya....wassalam dan salam hormat
anuar hj safian..