Sunday, May 6, 2012

Jangan Tangkap Ambiga dan Anwar Ibrahim

Pergerakan pemuda UMNO kelantan menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia supaya tidak menangkap Ambiga dan Anwar Ibrahim didalam kes arahan dan kekacauan yang dibuat kesan daripada perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan didataran Merdeka pada 28hb yang lalu kerana itulah motif sebenar pemimpin tersebut dalam menggerakkan demontrasi haram itu.

Walaupun kita mendapati bahawa demontrasi tersebut telah didatangi oleh dua kumpulan iaitu satu kumpulan yang datang untuk berhimpun secara aman, manakala satu lagi kumpulan bertujuan dari awal untuk mewujudkan kekacauan. Namun pemuda UMNO Kelantan merasakan bahwa Anwar Ibrahim telah terlebih dahulu merancang supaya demonstrasi tersebut menjadi ganas dan ternyata telah menggunakan ambiga yang pada awalnya telah bertindak untuk berada disana secara aman.

Pemuda kelantan menyifatkan, Ambiga dan Anwar Ibrahim saling memperkudakan satu dengan lain dalam hal Bersih 3.0 dan ternyata Anwar Ibrahim telah mempersiapkan dirinya untuk ditangkap oleh pihak berkuasa, supaya penyokong-penyokong mereka akan membuat hura- hara dengan lebih dahsyat sepertimana kemahuan dirinya dan beliau mahu meletakkan dirinya dalam keadaan dizalimi.

Oleh yang demikian, pemuda UMNO kelantan berharap agar kerajaan dan KDN tidak akan terikut-ikut dengan rentak parti pembangkang dalam menangani isu tersebut. Dan dalam hal ini juga saya menyeru supaya ambiga dan Anwar Ibrahim tidak ditangkap walaupun beliau jelas menunjukkan isyarat supaya penyokong-penyokong bersih merempuh pengadang yang diadakan di Dataran Merdeka tersebut.

Pemuda Kelantan merasakan biarlah rakyat sendiri membuat penilaian terhadap kesan buruk yang terpaksa dihadapi oleh ramai orang dan rakyat serta harta awam dan kerajaan ekoran daripada daripada peristiwa Bersih3.0 yang ternyata kotor sekotornya dalam sejarah demonstrasi negara.

Monday, May 25, 2009

Pemuda Cabar Nik Aziz Serah Jawatan MB Pada Anuar Tan


Pemuda umno kelantan mencabar Nik aziz untuk menyerahkan jawatan MB kepada Dato Anuar Tan susulan daripada kenyataannya yg boleh menerima kaum lain dgn syarat beragama islam,warak,dan alim. Kalau sekiranya Anuar Tan boleh dilantik sebagai exco kanan kerajaan negeri sudah tentu Anuar Tan sudah pun memasuki kategori sepertimana yang disebutkan oleh Menteri Besar Kelantan itu. Sekiranya Nik Aziz benar-benar ikhlas pengundi Dun Kota Lama boleh mendesak Kerajaan Pas supaya mencuba memberikan peluang pada Anuar Tan untuk menerajui kelantan. Bagi pemuda UMNO pas negeri hanyalah beretorik dalam kenyataan yang dibuat semata-mata untuk menarik minat golongan kaum cina dan india untuk menyokong pas. "Kalau beliau jujur buktikan dulu" katanya kepada media selepas majlis perjumpaan Biro politik pemuda bahagian dalam negeri bersama pengerusi Badan perhubungan Umno negeri Dato Mustapa Mohamed.

Thursday, May 21, 2009

PEMUDA KELANTAN DESAK SPRM SIASAT KEWUDUAN POLITIK WANG DALAM PEMILIHAN PAS

PEMUDA KELANTAN MENDESAK SPRM SUPAYA MENYIASAT KEWUJUDAN POLITIK WANG DALAM PEMILIHAN PARTI PAS

Pergerakan pemuda UMNO Kelantan mendesak SPRM, supaya melakukan penyiasatan rapi tentang kewujudan laporan yang telah dibuat oleh Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Muhammad Daud Iraqi mengenai dakwaan berlaku gejala politik wang didalam pemilihan PAS diperingkat bahagian dan tertinggi parti itu. Pemuda melihat perkara ini adalah merupakan satu perkara yang serius memandangkan selama ini, Pimpinan PAS hanyalah melihat UMNO sahaja sebagai sebuah parti yang mengamalkan politik wang. Sekiranya UMNO sentiasa mengambil sikap yang amat liberal dan terbuka untuk disiasat, maka pergerakan pemuda UMNO Kelantan juga merasakan bahawa pimpinan PAS juga harus bersedia disiasat sekiranya mereka merasakan mereka bersih dan tidak mengamalkan perkara yang menjadi kesalahan dari segi undang-undang.

Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, dan sekiranya UMNO sentiasa berusaha untuk menangani gejala ini, maka janganlah Pimpinan Pas yang diihat cuba memomokkan isu juga terlibat : diibaratkan , kata dulang paku serpih”

Sunday, May 17, 2009

KELANTAN KOTOR; SYIAR ISLAM BELUM TERLAKSANA DI NEGERI KELANTAN



Saya amat tertarik dengan kenyataan dalam sinar harian hari ini, yang menyatakan rasa malu Nik Aziz menteri besar kelantan terhadap tahap kebersihan didalam negeri. Pada pendapat saya, ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri dibawah Kepimpinan Nik Aziz telah gagal dalam mentarbiahkan penduduk dinegeri ini dengan slogan dan laungan islam yang hendak dibawa oleh kerajaan Pas.
Pas sudah memerintah negeri ini hampir 20 tahun, mana ada sesebuah negeri yang mempunyai masa yang begitu lama untuk mentadbir rakyat untuk menjaga kebersihan didalam dunia ini. Kita sering dilabelkan sebagai negeri serambi mekah, dengan slogan dan momokan yang memecah liur rakyat, tetapi hakikat sebenarnya tahap perlaksanaan dan kepimpinan negeri tidak diurus dengan baik, malahan kalau kita bandingkan Negeri dan negara maju seperti dijepun, korea dan eropah, mereka bukanlah Negara islam atau negeri islam tetapi berjaya mentadbir dan mendidik rakyat untuk menjaga kebersihan semenjak usia kecil lagi, dan kita patut malu kepada kerajaan bukan islam yang berjaya meletakkan tahap kebersihan sebagai agenda utama dalam kehidupan seharian mereka berbanding kita sebagai sebuah kerajaan yang dikatakan islam.
“ dari segi sejarah, zaman Rasullullah dulu pun, Nabi tidak mengambil masa yang telalu lama untuk membimbing masyarakat madinah, dimana Rasullullah berjaya meletakkan madinah ditahap kecermelangannya tidak sampai sepuluh tahun dengan Piagam Madinah sebagai Perlembagaan bertulis pertama didunia yang digubal pada tahun 1 hijrah, ini sudah hampir 20 tahun”
Pergerakan Pemuda UMNO negeri kelantan, merasakan sudah sampai masanya rakyat menilai semula tahap dan kedudukan kerajaan negeri yang ada pada hari ini demi kepentingan dan kedudukan agama islam yang sebenarnya dalam negeri ini.

Saturday, April 4, 2009

Jawatankuasa Kira Undi KP dan NKP Pemuda UMNO Harus Tampil Beri Penjelasan

Saya ingin merujuk kenyataan saya didalam akhbar Utusan Malaysia hari ini muka surat 15, bahawa Pemuda Kelantan menggesa supaya Jawatankuasa Pemilihan Undi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO tampil memberi penjelasan tentang apa yang berlaku didalam dewan pengiraan undi pada 25hb Mac yang lalu sehinggakan ianya boleh mengaibkan imej Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Saya banyak terdengar pandangan serong masyarakat tentang proses pengiraan yang dilakukan yang bermula dari jam 3ptg sehingga berlarutan pada jam 10.30 malam. Ada yang mengatakan sehingga 5 dan 6 kali dikira dan barulah Sdr YB Khairy Jamaludin diisytiharkan menang.
Bagi saya, demi untuk menjaga kredibiliti perjuangan pemuda UMNO yang mempunyai keahlian seramai 700,000 orang, pihak yang berkenaan harus tampil dengan langkah berani untuk menjelaskan dengan sejelasnya-jelasnya tentang apa yang berlaku supaya ianya tidak dipandang serong oleh masyarakat dan demi menjaga ketertiban amalan demokrasi yang selama ini didokongi oleh majoriti rakyat dan ahli UMNO itu sendiri.

Tuesday, March 10, 2009

PPSMI- Dewan Bahasa Punyai Peranan Besar

Saya merujuk kepada keratan akhbar dalam sinar harian edisi Kelantan bertarikh 8hb Mac 2009, bahawa pemuda UMNO kubang Kerian mendesak kerajaan supaya hapuskan perlaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pada hemat saya, apa yang berlaku dalam sehari dua ini dalam kekalutan yang amat sangat berkenaan dengan kajian demi kajian yang telah dibuat oleh kementerian pelajaran terhadap perlaksanaan PPSMI disekolah-sekolah seluruh negara. kita sedar tentang apa kehendak dan kemahuan kerajaan didalam perlaksanaan PPSMI tersebut, ianya tidak lain dan tidak bukan mahu meningkatkan ilmu dan penguasaan pelajar di dalam bahasa inggeris di samping memahami kehendak kementerian supaya penguasaan ini dapat dibuat didalam masa yang singkat.
Dalam masa yang sama kita harus sedar, bahawa ramai guru-guru di kelantan lebih-lebih lagi di luar bandar yang saban hari merungut dengan kepayahan mereka untuk mengajar pelajar bagi mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris ini. Saya terpanggil untuk membicarakan soal ini kerana sekiranya kita ingin mempastikan PPSMI tersebut dilaksanakan dengan jayanya, kita hendaklah terlebih dahulu mempersiapkan guru-guru kita supaya merekalah yang terlebih dahulu mahir dalam bahasa inggeris. Sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran yang susah ini tidak menjadi lebih rumit.
Asas dan perkara pokok ini sekiranya tidak dilaksanakan akan menyebabkan kekacauan dalam sistem pendidikan negara. Tidak hairanlah ramai yang menentang perlaksanaan ini termasuk guru-guru yang terlibat semasa bantahan PPSMI oleh GMP( Gerak Mansuh PPSMI) dua hari lepas.
Bagi saya, kita melihat contoh negara maju Jepun dan China , sejak dari dulu sampai sekarang mereka tidak melupakan bahasa ibunda mereka dalam setiap pengajaran mata pelajaran, lebih-lebih lagi dasar tertutup yang mereka amalkan, tetapi mereka sedar bahawa bahasa inggeris adalah bahasa maju yang wajib dipelajari ilmunya dengan mencedok isi dan ilmu didalam setiap penerbitan yang dikeluarkan dalam bahasa inggeris.
Sebab itulah, apabila setiap kali judul tersohor dikeluarkan didalam bahasa inggeris, kerajaan mereka dibawah agensi bahasa masing-masing akan mempastikan untuk mangalih bahasa judul tersebut tidak kurang dari 2 minggu selepas ianya diterbitkan. Secara tidak langsung, pelajar-pelajar sekolah atau rakyat mereka akan mudah memperolehi ilmu yang didapati dalam buku atau judul terbabit dengan cepat tanpa mempelajari bahasa inggeris terlebih dahulu.
Didalam negara kita, kita mempunyai Dewan Bahasa dan Pustaka yang tugasnya ialah menerbit buku-buku ilmiah karya dalaman negara, disamping menjaga bahasa dan dasar bahasa kebangsaan. Tetapi usaha untuk membuat penterjemahan secara berkala atau secara tetap judul-judul tersohor haruslah dibuat dengan bersungguh-sungguh agar segala ilmu yang ada dalam terbitan bahasa inggeris akan dapat dimanfaatkan dengan jayanya.
Dewan Bahasa dan Pustaka haruslah diperkasakan oleh kerajaan dengan memperuntokan sejumlah wang yang besar disamping berusaha untuk melahirkan penterjemah-penterjemah yang berkaliber supaya segala permasalahan trasformasi ilmu ini akan dibuat dengan mudah dan tersusun.

Anuar Safian Calon Exco Pemuda No 13

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh bahagian dalam pergerakan pemuda UMNO yang telah mencalonkan saya sehingga saya berada ditempat yang ke 16 didalam susunan pencalonan tertinggi untuk jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia daripada 65 orang yang menghantar borang penerimaan pencalonan dan daripada seramai 200 orang yang layak bertanding diseluruh negara.
InsyaAllah segala peranan dan suara yang akan diamanahkan oleh perwakilan kepada saya nanti akan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi kedudukan dan kesinambungan perjuangan parti kita.
Saya berazam akan mempastikan segala gerak kerja yang akan dipikul sekiranya diberi peluang untuk memikul amanah yang besar tersebut akan memberikan sedikit sebanyak harapan generasi muda melayu dan bumiputra kearah kemantapan sokongan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional lebih-lebih lagi untuk kita menghadapkan diri kita kepada pilihanraya yang ke 13 yang akan datang.
Walaupun datang daripada negeri yang tewas dalam pilihanraya sejak 1990, dengan berpaksikan kepada pengalaman sebagai calon dalam pilihanraya yang lalu, saya tetap bertekad dan berazam untuk mempastikan negeri saya kembali ke tangan UMNO dan Barisan Nasional disamping membantu rakan-rakan dinegeri-negeri yang lain untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kekuatan parti kita yang sama-sama kita dokongi.
Harapan semuga Calon No 13 akan menjadi pilihan saudara dan semuga harapan tersebut akan dapat digarap secara bersama pada 25hb Mac ini. wassalam.

Sunday, December 7, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Saya ingin mengambil kesempatan disini khususnya kepada umat islam yang membaca laman blog ini bersempena dengan kehadiran hari yang besar dan bersejarah bagi umat islam. Inilah masanya kita menilai semula pengorbanan rasul-rasul terdahulu dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah di alam maya ini.
Berkat kesabaran dan kesetiaan junjungan rasul dan nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail terhadap kebesaran Allah S.W.T memberikan suatu impak yang besar dalam kita menilai sejauh mana pengorbanan kita terhadap agama yang kita anuti selama ini.
Kita sedar dalam berpolitik kita juga kadangkala tersentuh dengan erti pengorbanan dan sanggup dikorbankan. Pengorbanan untuk melihat anak bangsa kita berada seiring dengan lain-lain bangsa yang ada dalam negara kita juga merupakan satu pengorbanan yang datang dari sifat muhasabah dan keihklasan ahli-ahli umno dan pemimpin kita dalam negara supaya perbanyakkan tumpuan dan masa yang harus diberikan demi mencapai cita-cita yang digarapkan dalam perjuangan UMNO itu sendiri.
Sesungguhnya pengorbanan yang suci ini juga dapat memberikan manfaat buat untuk masa depan generasi yang akan datang. Selamat hari raya korban..

Sunday, November 16, 2008

UMNO-Perlu ada Sistem Atau "UMNO PROTOKOL"


Apabila kita bercakap soal sistem, kita akan melihat bahawa sistem adalah merupakan suatu ketetapan mustahak yang merangkumi aspek dan susunan yang memungkinkan benda atau sesuatu yang berada di dalam sistem itu mengikut sepertimana yang termaktub dalam sistem yang diselaraskan atau yang digubalkan oleh pertubuhan atau superior.


Dalam perniagaan, kita perhatikan banyak syarikat multinasional yang berjaya diperingkat global adalah terdiri daripada syarikat yang mempunyai sistem samada dalam pentadbiran atau aspek pengurusan yang mana ketua kepada sistem tersebut kadangkala tidak perlu lagi melihat kepada perkara remeh-temeh pengurusan kerana ianya sudah termaktub dan hanya penyelarasan yang wajib diikuti oleh pekerja yang berada didalam sistem tersebut. Natijah disebalik pengingkaran kepada sistem akan menyebabkan organisasi menjadi lembab, Jualan akan susut, Imej akan tercemar, dan usaha kearah kecemerlangan akan terbantut. Ini adalah sistem.


Kita mengambil contoh Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald misalannya adalah merupakan sampel terbaik bagi menerangkan tentang prepentingnya sistem yang diamalkan didalam kedua-dua syarikat itu yang mana, sesiapa sahaja yang berada didalam konglomerat tersebut wajib mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan didalam sistem yang telah digubalkan. Dan sistem tersebut tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak dan sudah menjadi suatu perlembagaan kepada syarikat samaada sesiapa sahaja yang menerajui atau menjadi pemilik franchise kepadanya atau yang bekerja dengannya wajib melaksanakannya.


Ini terbukti apabila, ianya merangkumi daripada segenap segi, dari sekecil-kecil peranan tukang cuci, tukang masak, sehinggalah kepada cashier yang menguruskan kewangan, semuanya berada didalam sistem yang telah dibukukan.


Dalam UMNO, sejak daripada penubuhannya, pada 11hb Mei 1946, sememangnya UMNO mempunyai perlembagaan yang dipanggil perlembagaan parti-iaitu peraturan-peraturan sebagai ahli parti dan sebagai organisasi, dan walaupun kerapkali dibahas dan ditambahnilaikan, atau diperbaharui mengikut matlamat dan perjuangan semasa, namun UMNO masih lagi belum ada sistem yang wajib diikuti oleh sesiapa saja yang memimpin samada daripada sebesar-besar pemimpin diatas termasuk Presiden, Timbalan presiden dan Naib-Naib Presiden, Wanita Pemuda dan Puteri sehinggalah melibatkan kepimpinan dibawah termasuk bahagian dan ranting-ranting diperingkat cawangan.


Saya berani mengatakan demikian kerana, seringkali wujud double-standard atau dengan kata lain, keputusan dua muka yang kadangkala boleh menyebabkan UMNO wujud sebagai sebuah parti yang tidak mengamalkan keadilan dan ketelusan didalam pentadbiran. dan kadangkala terdengar "oleh kerana UMNO adalah Politik, maka kadangkala jawaban kepada persoalan hendaklah berbaur politik, ibaratkan 2+2 bukan 4 tetapi 6 atau 8 atau 10, atau apa sahaja yang memungkinkan jawaban mengikut selera dan sentimen" kata sesetengah daripada penganalis politik yang saya dengari.


Pada hemat saya, keputusan daripada politik adalah berbentuk politik sekiranya ianya melibatkan parti lawan atau dalam berhujah dengan parti pembangkang dalam pembentukan fakta untuk menentang dan sebagainya, tetapi sekiranya ianya melibatkan masalah dalaman, saya yakin dan percaya UMNO menyimpang jauh daripada apa yang sepatutnya ada dari Sistem.


Kita melihat pada hari ini, UMNO sebagai sebuah parti dominan dalam kerajaan yang ditunjangi BN sejak sebelum Merdeka, seringkali dilabel sebagai parti yang mengamalkan politik wang, didada akhbar dan media eletronik, seringkali menggambarkan kerakusan pemimpin dalam mana kita berdepan dengan pemilihan parti di setiap 4 tahun sekali. Ini semua adalah kerana, kita tidak mempunyai sistem dalam pemilihan.


Dada-dada akhbar yang memaparkan kepincangan politik wang, dan media eletronik juga memainkan peranan yang berterusan kerana kita tidak mempunyai sistem yang mengawal media daripada meneruskan agenda memburok-burokkan parti kerajaan, sedangkan kita adalah kerajaan. Sesuatu topik tidak akan terus diperbincangkan atau diperdebatkan sekiranya kita dapat mengawal tajuk hangat tersebut daripada merebak, ini berlaku secara terus menerus kerana UMNO tidak berusaha untuk mempelopori sistem dalam kawalan kepada media.Ini tidak berlaku sama sekali di Singapura misalannya sejak daripada zaman, Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong sehinggalah kepada zaman Lee Hsieng Loong yang ada pada hari ini. Ini bukanlah bermakna Rakyat Singapura tidak berhadapan dengan isu besar, tetapi kerajaanlah yang mempunyai peranan dan sistem untuk mengawal isu, dan ianya wajib diikuti oleh agensi dan syarikat berkepentingan Kerajaan (GLC) apatah lagi yang melibatkan isu parti yang menguasai kerajaan. Ini boleh dilihat didalam tontonan VCD "the success story of Singapore by Lee Kuan Yew".


Dalam pemilihan UMNO misalannya, sepertimana apa yang telah berlaku di Seremban , didalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian tersebut baru-baru ini, UMNO tidak mempunyai suatu sistem yang boleh digunapakai dan diseragamkan untuk mengelak perkara tersebut daripada berlaku. Ini boleh dijadikan contoh apabila UMNO kubang kerian, yang juga salah satu daripada bahagian-bahagian panas dalam negara, yang kalau difokuskan boleh diletakkan pada tahap "Kod Hitam" berjaya mengadakan mesyuarat kerana mempunyai sistem awal yang direka khusus oleh pimpinan bahagian, dimana para perwakilan sahaja yang benarkan masuk kedewan dengan menapis kehadiran dipintu pagar masuk disamping pemerhati yang dibenarkan oleh Ketua cawangan sahaja yang boleh berada didewan semasa perasmian dan mereka, mengikut sistem, hendaklah keluar dari dewan apabila mesyuarat hendak dimulakan. Ini adalah contoh sistem yang berupaya untuk menyekat daripada berlaku keributan didalam dewan yang boleh mengaruhkan pergaduhan dan sebagainya. Kebiasaannya, pergaduhan tercetus adalah kerana pengaruh orang luar yang tidak menjadi perwakilan di dalam dewan, yang menyebabkan wujudnya suasana panas yang memungkinkan bertindak diluar perbatasan peraturan parti.


Di dalam Pentadbiran sebagai pemimpin parti juga, UMNO harus mewujudkan sistem yang wajib dilaksanakan di dalam tadbir urus sebagai pemimpin kepada bahagian. Kod sistem ini hendaklah digubal supaya sesiapa yang ingin memimpin UMNO bahagian sehinggalah kepada pemimpin sayap wajib mengikut sistem yang perlu dilaksanakan. Sebagai contoh, hari ini kita melihat ramai pemimpin-pemimpin berlumba-lumba ingin memegang jawatan dalam parti tetapi tidak mendalami sepenuhnya apakah tugas-tugas yang harus dilaksanakan atau dipikul sebagai pemimpin kepada bahagian, seolah-olah hanya sebagai simbol tetapi tidak menggerakkannya. Pemimpin terpaksa tercari-cari program yang perlu diisi oleh bahagian, dan sekiranya Pemimpin Bahagian mempunyai hubungan yang baik dengan menteri atau agensi, maka mudahlah peruntukan akan dapat disalurkan kepada UMNO Bahagian dalam mengisi program-program yang akan dilaksanakan. Sedarlah bahawa dalam politik, tidak ada perjuangan kendiri selain daripada untuk kita menguatkan parti dan rakyat serta penyokong untuk berdepan didalam pilihanraya yang akan datang. Namun apabila pemimpin bahagian tidak mempunyai talian hayat dengan mana-mana agensi atau kementerian, maka alamat keringlah program didalam bahagian dan ini boleh menyusahkan kepimpinan sayap-sayap yang terpaksa bergantung kepada UMNO bahagian didalam pengisisan program yang sepatutnya dilaksanakan.


Di dalam sistem yang dicadangkan, sekiranya 30 buah kementerian yang ada dalam negara termasuk kementerian Di Jabatan Perdana Menteri, menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000-00 kepada 191 buah bahagian diseluruh negara, maka setiap kementerian akan membelanjakan sejumlah RM1,910,000-00 sahaja untuk menampung program dibahagian yang akan mengadakan sejumlah 30 program setahun. Sekiranya 30 program setahun dapat diadakan di dalam UMNO Bahagian diseluruh negara, kita yakin dan percaya, kita akan dapat berjumpa dengan masyarakat tidak kurang 3 kali sebulan disamping program-program kecil yang lain. Dan ini melibatkan satu jumlah yang kecil sahaja disebalik peruntokan pulohan malah ratusan juta ringgit kepada kementerian pada setiap tahun budget kewangan negara. Ini semua perlu dimasukkan ke dalam sistem.

Makna, sekiranya seseorang pemimpin itu ingin menjadi ketua UMNO bahagian, dia haruslah bersedia untuk mengadakan program dan dan berperanan dalam tanggungjawab tersebut, dan dalam masa yang masa Menteri atau timbalan menteri akan dapat turun kesegenap bahagian diseluruh negara dan sekaligus merapatkan jurang antara menteri dan rakyat, disamping mengenali dengan lebih dekat permasalahan yang ada disegenap peringkat, walaupun tidak termasuk Bahagian-bahagian di Sarawak boleh dilaksanakan dengan peruntokan yang lain.

Sistem ini akan pertamanya memberikan kesedaran tentang pentingnya tugas dan tanggungjawab ketua bahagian, yang sudah tentu akan memperkuatkan akar umbi, dan keduanya Menteri dan Timbalan Menteri tak payah sibuk berkempen ke sana ke mari apabila tiba musim pemilihan, kerana ramai sudah mengenali mereka dengan lebih dekat melalui program-program yang dihadiri.

Sistem pemilihan bahagian hendaklah diuruskan terus ke negeri masing-masing termasuklah didalam persidangan cawangan, supaya tidak timbul lagi soal politiking yang kerap kali dikaitkan diperingkat bahagian apabila ada sesuatu pertembungan atau political clash diperingkat bahagian. Sistem diperingkat negeri hendaklah dipilih dikalangan bukan yang pernah memegang apa -apa jawatan dalam politik sama didalam bahagian dan hendaklah bebas daripada mana-mana pengaruh dalam yang boleh menyebabkan 2+2 jadi 6.

Sistem diperingkat pusat pastinya perlu ditekankan supaya mana-mana ahli yang membawa keluar berita tentang pemilihan didalam bahagian yang ditanda dengan KOD HITAM, kepada media eletronik ada media massa hendaklah digantung terus keahlian dari parti, dengan penyiasatan sekurangnya seminggu, dengan terbukti kesahihan dan peranan yang diberi kepada akhbar dan media untuk memudaratkan UMNO Bahagian. Dan berita tentang penggantungan ini semua tidak perlu dibawa kedada akhbar, dan hanya sistem yang menyampaikan, melalui warrant dan sebagainya.

Saya merasa sudah sampai masanya UMNO mempunyai sistem yang wajib dipatuhi oleh ahli-ahli disegenap peringkat. Jangan hanya yang menulis atau yang bercakap sahaja yang mahukan perubahan atau kadang kala yang menulis dan bercakap sahaja turut juga terlibat.

Saya diibaratkan seperti pembaca khutbah yang mengajak diri sendiri dan orang lain supaya sama-sama membuat perubahan. Sudah sampai masanya... ayuh "SISTEM UMNO" atau "UMNO PROTOKOL"

Jumpa Bab seterusnya.. UMNO -Perlu ada Sistem..BAB II




Sunday, November 9, 2008

Amerika & Malaysia Jauh Bezanya



Saya amat tertarik dengan kemenangan Calon Demokrat Barrack Obama yang telah diisyhtiharkan menang sebagai Presiden Amerika yang ke 44 seminggu yang lalu didalam persaingan sengit jawatan Presiden dalam kempen sejak 2004 lagi, sebenarnya saya banyak mengikuti perkembangan yang berlaku di Amerika semenjak kebelakangan ini hanya disebabkan oleh Obama, samatelah lagi membeli buku-buku karya beliau seperti "audicity of hope" dan "dream from my father".


Ini bukanlah bermakna saya menyokong Amerika atau dasar-dasarnya yang ternyata dibawah kepimpinan George W. Bush yang banyak menekan negara-negara islam seperti Iraq, Iran dan Afghanistan, tetapi saya amat tertarik dengan karektor dan personaliti beliau serta kesungguhan yang telah beliau tunjukkan sebagai Calon Demokrat yang termuda berusia 47 tahun selain daripada Presiden John F. Kennedy Jr. didalam persaingan yang begitu hebat yang telah dihadapi beliau yang memungkinkan beliau berada ditempatnya sekarang disamping visi dan misi untuk menyelamatkan Amerika daripada keruntuhan ekonomi yang berterusan sepertimana yang melanda negara itu pada hari ini.


Ternyata Obama mencipta sejarah yang tersendiri dengan menjadi pemimpin kulit hitam yang pertama dalam sejarah selama 232 tahun kewujudan Amerika Syarikat itu sendiri selepas seorang tokoh kulit hitam juga iaitu Martin Lurther King Jr. yang tersohor dengan ucapan beliau pada 28 ogos 1963 "i have a dream'' di Washington D.C. yang ternyata memberikan semangat kepada beribu-ribu orang sepertimana obama tentang kesedaran untuk tidak menidakkan hak-hak orang kulit hitam di Amerika Syarikat seperti mana yang diperjuangkannya. Kini setelah lebih 40 tahun, ternyata cita-cita Martin Lurther King Jr. telah tercapai.


Apabila mimpi ini ternyata terjadi disebalik perjuangan yang sekian lamanya, terdengar suara sinis dalam negara kita Malaysia tentang kesedaran yang sama untuk melihat bangsa lain berada ditampuk pemerintahan dalam negara. Ini adalah merupakan satu sindrom perbandingan yang amat bahaya bagi sesebuah negara seperti Malaysia yang ternyata hak-hak kesamarataan tersebut tidak termaktub didalam perlembagaan yang disokong oleh semua parti politik komponen yang memerintah negara melalui BN (dahulunya Perikatan) yang termaktub juga dalam konteks kontrak sosial yang tidak boleh dipertikaikan walaupun didalam perlembagaan tidak menyebut bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah semestinya dari Kaum Melayu dan Islam.


Dari segi persefahaman yang telah dibina ternyata UMNO sebagai sebuah parti dominan dalam negara seharusnyalah memegang teraju kepimpinan negara dengan secara "verbal kontrak" yang perlu diterima hakikatnya oleh mana-mana penduduk dalam negara ini tidak kira apa agama dan bangsa mereka.


Sebenarnya Amerika menerima baik bangsa kulit hitam selepas 232 tahun amalan demokrasi dijalankan disebalik bangsa mereka yang telah dijadikan sebagai bangsa hamba abdi yang ditentang bersungguh-sungguh oleh Presiden Abraham Lincoln pada tahun 1861-1865 sebagai presiden ke 13 negara tersebut sehingga wujudnya perang saudara di Amerika. Sebenarnya juga presiden Amerika sebelum daripada ini adalah terdiri daripada ahli birokrat dan bangsawan dari kaum dominan Anglo Saxon dan kristian-protestan yang ternyata tidak membuka ruang langsung kepada mana-mana golongan lebih-lebih lagi kepada bangsa hamba abdi yang ternyata telah mencipta sejarahnya yang tersendiri selepas kehidupan mereka sudah menjadi sudah menjadi senada dan seirama, kehidupan orang kulit hitam dan putih mereka sudah melangkau perjuangan perkara asas seperti ekonomi dan sosial disebalik pencapaian orang kulit hitam di Amerika yang sudah jauh kedepan seperti didalam bidang ekonomi, sukan, sosial dan pentadbiran negara.


Negara kita hanya baru 51 tahun merdeka, dan ternyata kalau dibuat perbandingan antara Amerika dan Malaysia kita jauh berbeza, terutama daripada sudut ekonomi dan sosial yang sudah tentu menuntut supaya UMNO dan kerajaan yang ada pada hari ini berusaha lebih keras lagi terutama dalam membela nasib bangsa melayu yang masih jauh ketinggalan dari banyak lapangan dan bidang.


Dalam negara kita, minoriti hanya boleh bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selepas etnik Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Iban dan lain-lain mula berfikir dan mengamal nilai melayu sepertimana Obama dan orang kulit hitam yang lain di Amerika mula berfikir dan hidup seperti Anglo saxon dan kristian-protestan.


Kalau tidak tak payah lah bermimpi,..or Hoping to dream""

Selamat Datang Ke Blog Malayquest

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pelawat yang melawat laman blog ini, laman blog ini bertujuan untuk berkongsi pandangan dan citarasa masa kini tentang kedudukan orang melayu dan islam dalam negara kita. Sekiranya tuan puan serta saudara saudari mempunyai komen atau apa-apa bersangkutan tentang isu yang dikeutarakan silalah bersama-sama untuk membantu meningkatkan lagi dengan keihklasan untuk membawa orang melayu dan islam dalam negara kita ke tahap yang tertinggi dan sebenarnya....wassalam dan salam hormat
anuar hj safian..